GOMBAK - Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menggesa rakyat menghormati kebebasan media.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada laporan berita kini yang disifatkan neutral selepas Pakatan Harapan (Harapan) membentuk kerajaan persekutuan.

Menurutnya, rakyat kini mempunyai banyak pilihan untuk mendapatkan maklumat penuh perjalanan kerajaan negeri Selangor di media arus perdana dan alternatif.

Jangan marah TV3 dan RTM lagi kerana sejak 10 Mei lalu mereka laporkan berita yang seimbang dan memuji pentadbiran kerajaan negeri. Begitu juga Astro Awani yang banyak membantu kita.

Dah boleh baca Utusan (Malaysia) kalau mahu, begitu juga Sinar Harian dan jangan lupa Selangor Kini,” katanya.

Mohamed Azmin sebelum ini melahirkan kekecewaan apabila mendakwa sering menjadi mangsa serangan BN melalui Buletin Utama TV3 dan RTM yang melaporkan berita yang berat sebelah.

Menurutnya, media arus perdana jarang membuat liputan penuh dalam program kerajaan negeri melainkan terdapat isu panas yang memerlukan kenyataan balas daripada Menteri Besar Selangor.