ICQS Rantau Panjang lengang

Tinjauan bermula jam 6 hingga 8 pagi mendapati hanya beberapa kenderaan persendirian serta pelancongan melintasi sempadan ke Thailand melalui ICQS Rantau Panjang. Foto Sinar Harian - HAZELEN LIANA KAMARUDIN

A
A
A

RANTAU PANJANG - Suasana di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang di sini lengang walaupun pada hujung minggu dipercayai susulan kejadian letupan bom di Tak Bai, Narathiwat, Thailand pada Isnin lalu.

Tinjauan Sinar Harian di lokasi pada Jumaat bermula jam 6 hingga 8 pagi mendapati hanya beberapa buah kenderaan persendirian serta pelancongan melintasi sempadan ke Thailand melalui ICQS berkenaan.

Suasana di ICQS Rantau Panjang lengang walaupun pada hujung minggu dipercayai susulan kejadian letupan bom di Tak Bai, Narathiwat, Thailand pada Isnin lalu. Foto Sinar Harian - HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Orang ramai pula hanya kelihatan rakyat Thailand yang ingin pulang ke kampung untuk bercuti hujung minggu dan mengecop pasport.

Bagaimanapun masih ada segelintir penduduk tempatan yang masuk ke negara jiran untuk ke Pekan Sungai Golok, Hatyai dan beberapa lokasi lain bagi urusan keluarga, bercuti serta makan-makan.

Penduduk tempatan, Minah Mat, 60, berkata, walaupun bimbang mendengar kes kejadian letupan bom sehingga mencederakan dua rakyat Malaysia baru-baru ini, namun tempahan ke Hatyai telah dibuat lama.

"Kami ke sana dengan rombongan rakan-rakan. Sudah rancang lama, bayaran telah dibuat.

"Hanya mampu berdoa semoga selamat pergi dan pulang. Bukan tidak bimbang tetapi berharap kejadian itu tidak berulang lagi," katanya.

Artikel Berkaitan:

Masih ada segelintir penduduk tempatan yang masuk ke negara jiran untuk ke Pekan Sungai Golok, Hatyai dan beberapa lokasi lain bagi urusan keluarga dan bercuti. Foto Sinar Harian - HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Pengendali motosikal tambang, Rahman Abdullah, 40, berkata, biasanya pada hari Jumaat keadaan sesak dan orang ramai mulai memenuhi ICQS Rantau Panjang sebelum jam 6 pagi lagi.

Ujarnya, berbeza pula kali ini apabila suasana sangat lengang dan keadaan tersebut telah berlarutan sejak Selasa lalu selepas insiden letupan bom Tak Bai.

"Saya dan rakan-rakan hanya mampu termenung. Biasanya hari Jumaat kami tidak menang tangan kerana ramai yang akan masuk ke Thailand untuk makan-makan.

"Kalau hari Jumaat, jam 6 hingga 8 pagi adalah waktu puncak, tetapi kali ini lengang," kongsinya.

Pengendali motosikal tambang hanya mampu termenung apabila tidak ramai yang berkunjung ke Thailand pada Jumaat. Foto Sinar Harian - HAZELEN LIANA KAMARUDIN
Pengendali motosikal tambang hanya mampu termenung apabila tidak ramai yang berkunjung ke Thailand pada Jumaat. Foto Sinar Harian - HAZELEN LIANA KAMARUDIN

Peniaga, Rosli Muhamad, 52, pula berkata, dia tiada pilihan kerana setiap Jumaat akan ke pasar minggu Pekan Sungai Golok untuk mendapatkan barangan jualan di sana.

Katanya, oleh kerana sudah biasa dengan keadaan di sana, perasaan takut sedikit kurang tetapi sentiasa berdoa agar semuanya selamat.

"Kita sudah sedia maklum di negara jiran, aktiviti pengeboman sentiasa berlaku. Jadi perlu sentiasa hati-hati dan mengikuti perkembangan semasa melalui media sosial serta media tempatan," ujarnya.

Sebelum ini Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menasihatkan penduduk negeri ini supaya menangguhkan sementara waktu urusan ke Thailand susulan insiden letupan bom terbabit.

Terdahulu, pada Isnin dua rakyat Malaysia cedera selepas kenderaan jenis utiliti sukan (SUV) Proton X50 yang dinaiki terkena letupan bom berhampiran Mukim Phrai Wan, Daerah Tak Bai, Wilayah Narathiwat, Thailand.

Kejadian terbabit dipercayai berlaku kira-kira jam 11.41 pagi (waktu tempatan).

Akibat letupan tersebut, dua lelaki berkenaan dikatakan mengalami kecederaan dan telah dibawa ke hospital berhampiran oleh pihak berkuasa untuk mendapatkan rawatan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!