Murid parah kemalangan ketika melintas jalan di hadapan sekolah

Seorang murid prasekolah di SK Seri Geliga cedera parah dalam kemalangan ketika melintas jalan berhadapan sekolahnya. Foto tular
Seorang murid prasekolah di SK Seri Geliga cedera parah dalam kemalangan ketika melintas jalan berhadapan sekolahnya. Foto tular
A
A
A

CHUKAI - Siasatan terhadap kes kemalangan melibatkan murid prasekolah di hadapan Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Geliga, Jalan Kuala Kemaman-Geliga di sini pada Khamis lepas mendapati kanak-kanak itu dipercayai melintas jalan secara tiba-tiba sebelum terlanggar sebuah kereta.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintenden Mohd Razi Rosli berkata, hasil siasatan daripada kamera papan pemuka kenderaan lain di tempat kejadian mendapati murid berkenaan melanggar bahagian kiri sebuah kereta jenis Perodua Myvi dipandu seorang wanita, dalam kejadian pada jam 12.30 tengah hari.

"Murid lelaki berusia enam tahun berkenaan melintas jalan dari arah kiri ke kanan jalan di lokasi kejadian sebelum melanggar kereta terlibat," katanya ketika dihubungi pada Sabtu.

Beliau berkata, pemandu kereta berusia 40 tahun itu pula dalam perjalanan dari arah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Geliga menuju ke SK Sri Geliga.

Mohd Razi berkata, akibat kemalangan itu, murid tersebut cedera parah di bahagian kepala dan dikejarkan ke Hospital Kemaman, sebelum dipindahkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah di Kuala Terengganu untuk rawatan lanjut,

Media semalam melaporkan seorang murid prasekolah di SK Seri Geliga cedera parah dalam kemalangan ketika melintas jalan berhadapan sekolahnya. - Bernama

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!