RISDA Agromajestic perkasa ekonomi pekebun kecil di Johor

KOTA TINGGI - Program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 menjadi platform memperkasa ekonomi pekebun kecil, usahawan desa dan komuniti setempat menerusi pelbagai inisiatif pembangunan serta peluang pasaran.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, program itu menghimpunkan pelbagai pengisian mengikut keperluan peserta termasuk pameran produk, jualan usahawan, khidmat nasihat pertanian, inovasi teknologi serta jaringan perniagaan.
Menurutnya, penganjuran program berkenaan turut mencerminkan komitmen RISDA dalam memastikan pembangunan desa terus memberi manfaat kepada masyarakat.
"Melalui program ini, peserta bukan sahaja dapat mempamerkan hasil dan produk mereka, malah berpeluang memperluaskan rangkaian pasaran serta meneroka peluang baharu dalam sektor ekonomi desa.
"Program Agromakanan RISDA juga membantu pekebun kecil mempelbagaikan sumber pendapatan melalui aktiviti tanaman, ternakan dan akuakultur," katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program RISDA Agromajestic Negeri Johor 2026 di Dataran Kejat, Bandar Tenggara pada Sabtu.

Majlis berkenaan dirasmikan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Beliau berkata, RISDA Johor menerima peruntukan pembangunan berjumlah RM11.65 juta tahun ini bagi melaksanakan pelbagai program termasuk penanaman getah, peningkatan produktiviti dan pemasaran, peningkatan ekonomi serta Program Agromakanan.
Katanya, daripada jumlah itu, RM192,000 diperuntukkan khusus bagi Program Agromakanan dan Program Khas di negeri ini.
Menurut beliau, sepanjang pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dari 2021 hingga 2025, Program Agromakanan RISDA di Johor melibatkan 341 projek dengan peruntukan RM7.19 juta, memberi manfaat kepada 508 peserta serta merekodkan hasil jualan RM7.68 juta.
"Di peringkat negara pula, sebanyak 4,500 projek telah dilaksanakan melibatkan 6,815 peserta dengan jumlah peruntukan RM108.59 juta dan hasil jualan melebihi RM160.23 juta," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

