‘Saya sanggup jual apa sahaja asalkan anak sembuh’

Mohd Sabri sebak ketika menceritakan kisah Nur Arissa yang menderita akibat leukemia.
Mohd Sabri sebak ketika menceritakan kisah Nur Arissa yang menderita akibat leukemia.
A
A
A

KUANTAN – “Kalau ada ubat yang mahal sekalipun, saya sanggup jual apa sahaja yang saya miliki asalkan anak kembali sihat seperti dulu.”

Demikian seorang seorang bapa, Mohd Sabri Mohd Rafdzi, 46, yang kini berdepan ujian berat apabila anaknya, Nur Arissa Mohd Sabri, 11, disahkan menghidap leukemia.

Katanya, dirinya tidak lagi mampu berbuat apa-apa selain meneruskan rawatan sedia ada demi memastikan kesihatan anaknya itu terus terjaga.

“Abah tak mampu nak tolong kakak.. kalau abah tak bawa ubat, tak usaha cara perubatan ini, tak sembuh.

“Memang abah tahu sakit dan kakak (Nur Arissa) pun kata sakit, tapi tak ada pilihan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Cengal Lempung di sini pada Sabtu.

Mengimbau kembali, Mohd Sabri memberitahu, anak sulung daripada dua beradik itu disahkan menghidap leukemia pada 18 Mei lalu selepas mengalami sakit perut dan kelihatan pucat sebelum mendapatkan rawatan di klinik swasta.

Nur Arissa (duduk) bersama ayahnya (tengah) ketika menerima kunjungan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di rumah di Kampung Cengal Lempung di sini.
Nur Arissa (duduk) bersama ayahnya (tengah) ketika menerima kunjungan daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di rumah di Kampung Cengal Lempung di sini.

Menurutnya, keputusan ujian darah daripada klinik swasta menunjukkan bacaan tidak normal menyebabkan murid tahun lima Sekolah Kebangsaan (SK) Chengal Lempung itu perlu dirujuk segera ke Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) di sini.

Artikel Berkaitan:

"Nur Arissa kemudian disahkan menghidap leukemia dan dirujuk ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu bagi mendapatkan rawatan pakar.

"Susulan itu, anak saya terpaksa menangguhkan persekolahan kerana perlu menjalani prosedur rawatan," ujarnya.

Bercerita lanjut, Mohd Sabri berkata, Nur Arissa kini dikategorikan sebagai pesakit berisiko tinggi selepas keputusan ujian sumsum tulang mendapati masih terdapat 17 peratus sel kanser dalam badan.

Jelasnya, keadaan itu menyebabkan anaknya memerlukan rawatan lebih agresif termasuk kemoterapi dan prosedur pengambilan air sumsum tulang secara berkala.

“Setakat ini Arissa sudah dua kali menjalani prosedur pengambilan air sumsum tulang dan Isnin ini adalah kali ketiga.

"Selepas setiap sesi kemoterapi dia menjadi terlalu lemah, muntah, hilang selera makan dan badannya terasa panas.

"Kalau bacaan darah tidak memuaskan, rawatan juga terpaksa ditangguhkan dan doktor memaklumkan keseluruhan rawatan dijangka mengambil masa hingga dua tahun,” katanya.

Nur Arissa (duduk di tengah) disahkan menghidap leukemia pada 18 Mei lalu selepas mengalami sakit perut.
Nur Arissa (duduk di tengah) disahkan menghidap leukemia pada 18 Mei lalu selepas mengalami sakit perut.

Mohd Sabri berkata, selain rawatan yang sedang dilalui anaknya, keluarga turut berdepan satu lagi ujian apabila anak bongsu mereka perlu menjalani ujian keserasian genetik bagi menentukan sama ada boleh menjadi penderma sumsum tulang.

"Sebagai ibu bapa memang berat untuk buat keputusan dan doktor pun faham perasaan kami, tetapi jika ia serasi adiknya mungkin perlu membantu kakaknya. Apa-apa pun kami hanya mampu berserah,” luahnya.

Dalam pada itu, Mohd Sabri memaklumkan isterinya, Hasma Husain, 39, perlu menemani Nur Arissa di hospital sepanjang tempoh rawatan.

Ujarnya, bagaimanapun dia menjaga seorang lagi anak di Kuantan sambil terus bekerja sebagai pemandu lori bagi menampung keperluan keluarga.

Mohd Sabri (tengah) mengakui reda dengan ujian yang menimpa keluarganya.
Mohd Sabri (tengah) mengakui reda dengan ujian yang menimpa keluarganya.

Tambahnya, pendapatan yang bergantung kepada jumlah trip turut terjejas kerana kerap mengambil cuti selain berulang-alik ke Kuala Terengganu setiap minggu yang menelan kos kira-kira RM300 bagi setiap perjalanan.

“Kos rawatan memang ditanggung menggunakan surat sekolah, tetapi perbelanjaan harian tetap tinggi termasuk makanan dan keperluan di hospital," katanya.

Menurutnya, walaupun berdepan tekanan kewangan, keutamaan ketika ini adalah memastikan anaknya terus menerima rawatan.

“Saya tak fikir lagi soal duit, apa yang ada saya gunakan sahaja,” katanya.

Sementara itu, Hasma mengakui detik paling sukar ialah melihat anaknya menanggung kesakitan setiap kali menjalani rawatan, selain terpaksa mengambil masa sebelum memaklumkan keadaan sebenar kepada Nur Arissa.

Orang ramai yang ingin membantu boleh menyalurkan sumbangan ke akaun AmBank bernombor 8881034814386 atas nama Mohd Sabri Mohd Rafdzi.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!