'Isi durian selagi muat, seguni RM100'

Pelanggan mengisi durian dalam guni sekali boleh.
Pelanggan mengisi durian dalam guni sekali boleh.
A
A
A

KUANTAN – Sanggup memeluk erat guni yang sarat dengan puluhan biji durian sehingga ke paras dada demi memastikan muatan maksimum dapat dibawa pulang.

Itu antara gelagat para pelanggan yang menyerbu sebuah gerai durian di Balok di sini selepas terpikat dengan tawaran harga RM100 bagi satu guni penuh.

Peniaganya, Muhammad Azril Syazrin Izani, 31, berkata, idea jualan borong tersebut tercetus hasil cadangan rakan-rakan selain niatnya untuk membantu keluarga kurang berkemampuan menikmati raja buah tersebut.

Harga RM100 penuh guni menjadi tarikan dari penggemar raja buah itu.
Harga RM100 penuh guni menjadi tarikan dari penggemar raja buah itu.

“Kalau beli satu atau dua kilogram, benda itu agak mahal bagi sesetengah orang, jadi saya perkenalkan konsep satu guni RM100 supaya mereka boleh bawa balik lebih banyak durian untuk keluarga.

“Untung atau rugi itu belakang kira, yang penting orang dapat makan dan puas hati,” katanya ketika ditemui di gerai durian miliknya yang terletak di hadapan Masjid Kariah Balok di sini pada Sabtu.

Menurutnya, durian yang dijual di gerainya dilonggokkan terlebih dahulu dan pelanggan bebas memilih sendiri sebelum mengisi ke dalam guni yang disediakan, bukannya setiap guni mengandungi semua jenis secara tetap.

Artikel Berkaitan:

Nurul Syakila memilih durian untuk dimasukkan dalam guni.
Nurul Syakila memilih durian untuk dimasukkan dalam guni.

Katanya, longgokan tersebut merangkumi pelbagai jenis durian termasuk durian kampung serta durian premium seperti IOI, Musang King dan Duri Hitam bergantung kepada stok semasa.

“Konsep kita ialah lambak dan pelanggan pilih sendiri ikut cita rasa masing-masing dan terpulang kepada kreativiti mereka untuk menyusun buah tersebut selagi ruang guni masih muat.

“Ada kalanya jika stok buah dari Jementah, Segamat Johor sampai dalam jumlah yang banyak, saya akan selitkan sekali durian Musang King atau durian premium lain.

“Saya buat begini kerana mahu semua dapat merasa dan kalau ikutkan purata satu guni penuh dianggarkan sekitar 30 kilogram atau lebih 30 biji durian bergantung kepada saiz,” ujarnya.

Nurul Syakila masih mengisi durian yang sudah penuh guni..
Nurul Syakila masih mengisi durian yang sudah penuh guni..

Dia mengusahakan perniagaan itu sejak enam tahun lalu memberitahu, bekalan diperoleh daripada kebun keluarga dan pembekal di Jementah, Johor dengan jumlah mencecah sehingga 15 tan sehari.

Menurutnya, bagi memastikan kesegaran, lebihan durian yang tidak habis dijual akan dilelong pada penghujung hari.

“Saya tak simpan lama. Kalau tak habis hari itu, saya lelong, ini supaya pelanggan dapat buah yang segar,” jelasnya.

Selain jualan seguni RM100, Muhammad Azril Syazrin turut menawarkan harga RM8 hingga RM10 sekilogram bagi durian tertentu serta bakul RM10 pada waktu tertentu.

Malah, dia juga memberi durian Musang King secara percuma kepada golongan orang kurang upaya (OKU) dan ibu mengandung sebagai tanda penghargaan.

“Saya beri ikut kemampuan... jika pelanggan itu OKU dua biji, ibu mengandung sebiji,” katanya yang mendapat sambutan menggalakkan daripada pelanggan.

Bagi pembeli, Muhammad Harry Zakaria, 39, berkata, harga yang ditawarkan berbaloi terutama bagi mereka yang mempunyai keluarga besar atau mahu menikmati durian bersama rakan-rakan.

"Satu guni RM100 itu boleh makan dan hari ini saya beli ini pun untuk kawan-kawan sekerja.

"Kami ada lima orang staf jadi bolehlah buat 'kenduri' durian sikit dan dengan harga RM100, saya dapat dalam 23 hingga 24 biji durian," ujarnya.

Sementara itu, Nurul Syakila Mat Hisa, 34, mengaku singgah ke gerai itu selepas menonton siaran langsung jualan tersebut di TikTok.

Ibu kepada empat cahaya mata itu berkata keluarganya gemar menikmati durian dan berpuas hati dengan kuantiti yang diperoleh.

“Memang berbaloi dengan harga RM100 satu guni dan kami beli untuk dibawa balik dan makan bersama keluarga di rumah mak,” katanya.

 

 

 

 

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!