BERANANG - “Saya minta orang yang buat kerja ni insaflah... lembu hak milik ALLAH. Kita tak ada hak menghukumnya," demikian rayu seorang penternak lembu yang mendakwa kerugian lebih RM30,000 apabila 15 ekor daripada haiwan ternakannya ditemui mati dipercayai diracun pihak tidak bertanggungjawab.

Penternak tersebut, Mohd Kassim Mokhtar, 38, berkata, jika ada pihak tidak berpuas hati dengan tindakan melepaskan lembu untuk meragut rumput patut  bersemuka dengannya, bukan menganiaya haiwan terbabit.

Dakwanya lagi, itu bukan kejadian pertama dan dia pernah kerugian lebih RM60,000 apabila 27 ekor lembunya mati diracun, tiga tahun lalu.

"Ahad lepas, masa nak halau lembu ke kandang, saya dapati lima ekor daripada jumlah keseluruhan yang dilepaskan meragut rumput di dua kampung, hilang.

"Saya terkejut apabila terjumpa lima bangkai lembu selepas itu," katanya.

Katanya, kejadian tersebut tidak terhenti di situ apabila 10 lagi lembunya ditemui mati Isnin dan Rabu lalu.

Tambahnya, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) daerah juga datang untuk mengambil sampel bagi mengenal pasti punca kematian.

"Menurut JPV, lembu saya mati akibat diracun berdasarkan simptom," katanya.

Dalam pada itu, Mohd Kassim yang sudah 25 tahun menternak lembu berkata, dia tiada pilihan selain melepaskan lembunya di situ.

“Dahulu tempat ni hutan. Kalau lembu saya tak dibenarkan meragut meragut rumput di sini, ke mana lagi nak bawa mereka pergi. Malah, jika lembu saya rosakkan pagar atau tanaman mereka, saya bayar ganti ruginya,” katanya.

Menurut Mohd Kassim, dia tidak menuduh sesiapa, tetapi sedih kerana haiwan ternakannya dianiaya.

"Saya pernah mohon tempat untuk lembu saya meragut rumput kepada agensi berwajib sebelum ini, namun masih tak ada maklum balas diterima.

"Pernah juga saya ditawarkan sebidang tanah di Lenggeng, Negeri Sembilan, tapi setakat itu saja. Lepas tu tawaran senyap," katanya.

Mohd Kassim juga telah membuat laporan di Balai Polis Beranang berhubung kejadian menimpanya untuk tindakan lanjut sekali gus mengelakkan insiden tersebut berulang.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KUANTAN - Sebuah syarikat mendakwa mengalami kerugian hampir RM1 juta apabila kereta jenis Toyota Hilux dijual dan barangan kelengkapan milik syarikat hilang, dua tahun lalu.
  • KUALA TERENGGANU - Umat Islam di negeri Terengganu tidak perlu was-was untuk memakan daging lembu dan kerbau korban kerana kini ia dijamin selamat.
  • PULAU TAWAR - Sebuah kebun pisang seluas tiga hektar yang hanya sekali mengeluarkan hasil sejak ditanam lebih setahun lalu musnah dalam sekelip mata selepas dipercayai diserang sekumpulan gajah.
  • RANTAU PANJANG - Sebanyak 27 lembu seludup berjaya dirampas oleh Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di pangkalan haram Wakaf Zink, Rantau Panjang, jam 12.45 tengah hari, hari ini.
  • GOMBAK - Kerajaan negeri menyerahkan sebanyak 1180 ekor lembu korban bernilai RM6.4 juta untuk diagihkan ke seluruh masjid di Selangor sempena sambutan Aidiladha.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.