Lagi bom Aerial aktif ditemui di Jasin

JASIN - Satu lagi bom Aerial aktif ditemui di daerah ini dalam tempoh kurang dua minggu, kali ini oleh seorang pekerja kebun ketika menjalankan kerja penanaman semula pokok kelapa sawit pada Jumaat.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan penemuan sebutir bom jenis Aerial seberat 227 kilogram yang masih aktif oleh pekerja tapak projek ketika menjalankan kerja penggalian tanah di Kampung Air Panas, Bemban pada 14 Januari lalu.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintenden Lee Robert berkata, dalam kejadian terbaharu itu, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan objek disyaki bom di kawasan kebun Felda Bukit Senggeh, Nyalas.
“Pada Jumaat sekitar jam 12 tengah hari, petugas kaunter aduan Balai Polis Nyalas menerima laporan daripada seorang lelaki berusia 53 tahun yang bekerja sebagai pekerja kebun.
“Pengadu memaklumkan ketika sedang menjalankan kerja proses penanaman semula pokok kelapa sawit, dia telah menemui satu objek menyerupai bom di kawasan kebun berkenaan,” katanya menerusi kenyataan.
Katanya, hasil siasatan awal yang dijalankan oleh Unit Persenjataan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka bersama Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin mengesahkan objek tersebut adalah bom tidak meletup (UXO) jenis Aerial Bomb MC 500 lbs.
"Bom berkenaan berukuran kira-kira 40 inci panjang dan 26 inci diameter serta didapati masih aktif walaupun berada dalam keadaan berkarat,” katanya.
Tambah beliau, operasi pemusnahan telah dijalankan bermula jam 2.45 petang dan bom tersebut berjaya dimusnahkan sepenuhnya pada jam 6 petang secara 'in-situ'.
“Pemusnahan dilakukan menggunakan kaedah low order technique (body) dan high order technique (booster) bagi memastikan keselamatan orang awam,” ujarnya.
Beliau menasihatkan orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menimbulkan kegusaran masyarakat serta mengganggu ketenteraman awam.
Ringkasan AI
- Satu lagi bom Aerial aktif ditemui di Jasin oleh pekerja kebun saat penanaman semula pokok kelapa sawit
- Penemuan bom seberat 227 kilogram itu adalah yang kedua dalam kurang dua minggu di daerah tersebut
- Objek disyaki bom ditemukan di kawasan kebun Felda Bukit Senggeh, Nyalas
- Bom tersebut adalah jenis Aerial Bomb MC 500 lbs, panjang 40 inci dan diameter 26 inci, masih aktif walaupun berkarat
- Operasi pemusnahan bom telah dilakukan dengan kaedah low order technique dan high order technique, berjaya dimusnah sepenuhnya
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

