KUALA LUMPUR - Salah faham berhubung syarat yang ditetapkan bagi lesen niaga kenderaan (trade plate) dijangka dapat diatasi berikutan sesi penjelasan daripada pihak polis trafik dan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Ketua Polis Trafik Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Rosli Mohd Noor berkata, sebelum ini beberapa perkara dibangkitkan peniaga-peniaga kenderaan baru dan terpakai yang dikenakan tindakan penguatkuasaan setelah didapati melanggar peraturan.

Menurutnya, antara perkara yang menimbulkan salah faham adalah tindakan membawa penumpang untuk kenderaan pandu uji sedangkan ia tidak dibenarkan.

“Hanya pemandu dan kakitangan yang menjual kenderaan itu boleh berada dalam kereta, bukannya penumpang lain.

“Ada yang salah guna lesen yang diperoleh untuk mengangkut orang atau barang, jadi ia merupakan kesalahan yang boleh dikenakan kompaun,” katanya pada Sidang Media bersama Ketua Biro Aduan dan Perkhidmatan Awam, Parti Gerakan, Wilson Lau Hoi Keong; Persatuan Pengusaha Kereta Terpakai & Syarikat Kredit Kuala Lumpur/Selangor dan wakil JPJ, semalam.

Terdahulu, berlangsung sesi dialog bagi menjelaskan dan membincangkan isu trade plate setelah pihak persatuan banyak menerima aduan daripada ahli-ahli mereka yang dikenakan tindakan saman disebabkan salah faham.

Antara lain yang dibangkitkan adalah mengguna pakai trade plate pada waktu malam yang mana terdapat pengusaha dikenakan saman sedangkan syarat kebenaran kegunaannya adalah 24 jam.
 
Kata Rosli, menerusi pertemuan itu diharapkan tiada lagi isu berbangkit dan beliau berharap pemain industri terbabit mematuhi kehendak lesen seperti mana dijelaskan.

“Pemalsuan trade plate adalah satu kesalahan besar dan jika terdapat mana-mana pengusaha melakukan pemalsuan, denda minimum RM1,000 dan tidak lebih RM20,000 atau penjara tidak kurang lima tahun atau kedua-duanya akan dikenakan seperti mana termaktub bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Seksyen 108),” katanya.

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pengusaha Kereta Terpakai & Syarikat Kredit Kuala Lumpur/Selangor, Khoo Kah Jin berkata, pihaknya berpuas hati dengan penjelasan yang diberikan dan perkara sama akan diterangkan kepada lebih 400 ahli di bawahnya.
 
Katanya, dengan pengetahuan yang lebih jelas, ia dapat  mengelakkan berlaku salah faham berhubung ketetapan syarat lesen