KUANTAN - Titisan darah sepanjang kira-kira lapan meter merentasi jalan menghala ke sebuah semak membawa kepada penemuan mayat seorang lelaki warga Myanmar dipercayai mati akibat dibunuh dalam kejadian di Jalan 3/1 Kawasan Perindustrian Indera Mahkota 2 di sini, semalam.

Mayat mangsa dikenali sebagai Hla Zaw, 30 dari Yangoon, Myanmar ditemui pekerja sebuah bengkel membaiki kereta kira-kira jam 8 pagi dalam keadaan terbaring dengan kesan
kecederaan di kepala.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Negeri, Senior Asisten Komisioner Mohd Zakaria Ahmad berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan lelaki itu kira-kira jam 8.30 pagi sebelum beberapa anggota di kerah ke lokasi untuk menjalankan siasatan.

Menurutnya, hasil pemeriksaan ke atas mayat yang ditemui lengkap berpakaian itu mendapati dia dipercayai mati akibat kecederaan di bahagian kepala kesan hentakan benda keras.

“Polis tidak menolak kemungkinan mangsa dipukul di lokasi kejadian berdasarkan penemuan darah sebelum mayatnya dicampak ke dalam semak,” katanya ketika ditemui di lokasi
kejadian itu, semalam.

Mohd Zakaria berkata, polis turut menemui dompet yang mengandungi dokumen perjalanan diri mangsa selain sebatang kayu dengan kesan darah dipercayai senjata yang digunakan suspek dalam kejadian tersebut.

“Berdasarkan keterangan pekerja bengkel berhampiran, mereka terdengar suara seperti orang bergaduh di situ kira-kira jam 9.30 malam kelmarin.

“Bagaimana pun tiada saksi yang melihat kejadian sehingga pagi ini (semalam) apabila salah seorang daripada mereka yang kebetulan lalu di kawasan itu ternampak titisan darah
menghala ke dalam semak berhampiran dan menemui mayat mangsa,” katanya.

Menurutnya, polis juga di maklumkan, laluan itu sering digunakan pekerja warga asing untuk keluar ke jalan utama.
 
Beliau berkata, pihaknya masih menjalankan siasatan lanjut berhubung suspek kejadian sama ada melibatkan rakan senegara atau sebaliknya.

“Polis percaya motif kejadian bukan melibatkan kes samun sebaliknya ada kemungkinan berpunca akibat perselisihan faham atau dendam.

“Kita juga sedang mengenal pasti suspek sama ada bersendirian atau melibatkan kumpulan tertentu,” katanya.

Mohd Zakaria berkata, mayat mangsa dihantar ke Unit Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) Kuantan untuk bedah siasat bagi mengenal pasti punca sebenar kematian warga
Myanmar itu.

Beliau berkata, pihaknya juga akan memeriksa rakaman Sistem Kamera Litar Tertutup (CCTV) di kawasan itu untuk membantu siasatan.

“Kita klasifikasi kejadian ini sebagai kes bunuh dan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan,” katanya.

Justeru itu beliau meminta orang ramai yang mempunyai maklumat atau menyaksikan kejadian supaya tampil membantu siasatan.

“Kita juga minta rakan-rakan mangsa supaya tampil memberikan maklumat termasuk proses pengecaman,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TANGKAK - Teka-teki kehilangan suaminya yang tidak pulang makan tengahari di rumah dan menjemput anak dari sekolah seperti kebiasaan terjawab apabila lelaki itu ditemui mati dalam sebuah bangsal di kebun kelapa sawit, di Sagil, di sini.
  • GUAR CHEMPEDAK - Seorang lelaki yang tinggal seorang diri di dalam sebuah bangsal yang menjadi tempatnya berteduh di Kampung Tok Kau ditemui mati pada jam 11 pagi semalam oleh penduduk kampung.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.