Waspada kunjungi kawasan rekreasi di Kedah

Awang Hidzel (kanan) memantau persiapan berkala JBPM Kedah di BBP Alor Setar, pada Isnin.
Awang Hidzel (kanan) memantau persiapan berkala JBPM Kedah di BBP Alor Setar, pada Isnin.
A
A
A

ALOR SETAR - Orang ramai yang mengunjungi kawasan rekreasi dan pusat peranginan di Kedah ketika musim cuti sekolah dinasihatkan sentiasa berwaspada terutamanya ketika cuaca tidak menentu yang boleh mengundang bahaya kepada mereka.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penolong Kanan Pesuruhjaya Bomba Awang Hidzel Awang Bujang berkata, ia memandangkan 39 kawasan rekreasi dan pusat peranginan di 10 daerah di negeri ini yang dikenal pasti berisiko berlaku kepala air.

Beliau berkata, sehubungan itu, pengunjung perlu peka dengan beberapa petanda di sekeliling mereka seperti keadaan air yang berwarna keruh, bunyi deruan air kuat dan ranting kayu dihanyutkan air.

"Pastikan keadaan cuaca sebelum melakukan aktiviti air dan tidak meneruskan aktiviti sekiranya cuaca buruk ataupun terdapat tanda-tanda ribut untuk memastikan keselamatan diri dan orang lain.

"Selain itu, orang ramai diminta tidak berkhemah terlalu hampir dengan tepi sungai yang dikhuatiri menjadi laluan air," katanya kepada pemberita selepas meninjau persiapan berkala JBPM Kedah di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Alor Setar, di sini, pada Isnin.

Jelas beliau, kawasan 'hot spot' berisiko kepala air terbanyak direkodkan di daerah Baling dengan 11 kawasan seperti Teratak Simpul Kampung Weng Dalam; Air Panas Ulu Legong; Kuala Kedua, Jalan Ulu Legong; Lubuk Badak,Jalan Ulu Legong dan Sungai Pam, Kampung Luar Siong.

"Selain itu, Lata Baling, Simpang 4 Baling; Lubuk Pedati, Pulai; Lata Celak, Iboi; Lata Nering, Kampung Tanjung Nering; Lata Bayu, Asam Jawa dan Lata Bukit Hijau, Bakai.

"Antara 'hot spot' kawasan rekreasi berisiko kepala air lain termasuklah Air Terjun Perigi, Air Terjun Batu Hampar dan Titi Hayun di Yan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kongsi Awang Hidzel, Surau Sungai Batu turut dikenal pasti berisiko berlaku kepala air di Bukit Kayu Hitam, selain Kem Rekreasi Puteri Mandi, Taman Rekreasi Sungai Badak dan Sungai Bukit Kuari di Guar Chempedak.

"Kawasan berisiko kepala air di Kulim termasuklah Kem Rekreasi Sungai Sedim; Kem Rekreasi Ulu Paip; Karangan dan Lata Bukit Hijau dan Pusat Rekreasi Air Putih Junjung.

"Pusat Rekreasi dan Peranginan Bukit Wang di Jitra turut disenaraikan berisiko berlaku kejadian kepala air itu," katanya.

Dalam perkembangan sama, Awang Hidzel memaklumkan, JBPM Kedah turut menyenaraikan 11 kawasan 'hot spot' kes lemas iaitu Pantai Chenang, Pantai Tanjung Rhu, Pantai Pasir Berdegung, Pulau Rebaj, Sungai Kampung Kualai Pai, Sungai Kedah, Sungai Kuala Muda dan Tasik Pedu.

Beliau memberitahu, berdasarkan statistik 2021 hingga 2023, kes lemas yang dilaporkan menunjukkan peningkatan dengan 21 kes pada 2021, diikuti 28 kes pada 2022 dan 31 kes pada 2023.

Menurut beliau, setakat 20 Mei 2024, sebanyak enam kes direkodkan di Kedah dengan tiga mangsa dilaporkan meninggal dunia dan seorang selamat.

Justeru, beliau turut menasihatkan, orang awam supaya tidak berenang di kawasan yang dilarang atau tanpa pengawasan ketika melakukan aktiviti riadah di air.

"Selain itu, orang awam diingatkan supaya hanya berenang di kawasan yang telah ditetapkan dan terdapat pengawal keselamatan atau penyelamat.

"Orang awam turut dinasihatkan memakai jaket keselamatan semasa melakukan aktiviti air terutama sekali ketika melakukan aktiviti seperti berkayak, memancing, atau menaiki bot,"katanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata, JBPM Kedah juga sentiasa bersiap sedia menghadapi musim Monsun Barat Daya yang bermula sejak Jumaat lepas sehingga September 2024.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!