1,066 kanak-kanak tadika Selangor pecah rekod MBOR

Amirudin (duduk tengah) bersama peserta program "Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign" di Shah Alam pada Isnin.
Amirudin (duduk tengah) bersama peserta program "Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign" di Shah Alam pada Isnin.
A
A
A

SHAH ALAM - Kerajaan negeri Selangor melalui Jawatankuasa Tetap Pendidikan dan Modal Insan Negeri Selangor bersama Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI Selangor) berjaya memecah rekod Malaysia Book Of Records.

Rekod itu dipecahkan menerusi penglibatan paling ramai iaitu 1,066 kanak-kanak berumur tiga hingga enam tahun dari 30 tadika dalam program "Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign" di sini pada Isnin.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari menyifatkan ia satu usaha murni dilaksanakan MBI Selangor bagi memperluaskan usaha pengukuhan integriti bukan sahaja dalam kalangan orang awam, malah memfokus kepada golongan masih dalam peringkat 'rebung'.

Jelasnya, usaha tersebut selaras dengan moto Jabatan Integriti dan Governans MBI; iaitu Maju Bersama Dengan Integriti.

"Dalam buku kreativiti integriti yang diberikan kepada kanak-kanak, ada diselitkan dengan satu ungkapan daripada seorang ahli akademik terkenal berasal dari Britain, C.S. Lewis dan beliau mengatakan “Integrity is doing the right thing even when no one is watching”.

"Integriti ibarat kompas moral seseorang dan apabila ada mata memandang, kita mungkin akan buat sebaik mungkin, namun apabila tiada mata memandang, di situlah ujian sebenar akan tahap integriti seseorang," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Penutup Program Tekad Pendidikan #KitaSelangor: Program Mencipta Rekod Malaysia Book Of Records dalam "Most Kindergartener Participants In An Integrity Awareness Campaign" di Seksyen 7 di sini, pada Isnin.

Hadir sama, Ketua Pegawai Eksekutif MBI, Saipolyazan M Yusop dan Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (Rasuah Bustere), Norhayati Nordin.

Artikel Berkaitan:

Amirudin menambah, dapatan kajian Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 2003 juga mendapati apabila mahasiswa diberi soalan; “sekiranya saya mempunyai kuasa dan peluang, saya akan melakukan rasuah"; 30.5 peratus mahasiswa menyatakan ya.

Jelasnya, namun pada 2021, sekali lagi kajian dijalankan dengan soalan sama dan dapatan kajian menunjukkan bahawa terdapat penurunan ketara iaitu dari 30.5 peratus kepada 2.3 peratus responden sahaja menjawab ya.

Ini kerana ujarnya, terdapat banyak usaha yang dijalankan pelbagai pihak dalam usaha memerangi rasuah di Malaysia namun demikian, semua pihak terbabit masih tidak boleh berasa selesa dengan hasil kajian tersebut.

"Usaha mendidik harus diperluaskan di semua peringkat umur, walaupun istilah integriti itu sangat meluas maknanya dan sukar untuk diperjelaskan kepada kanak-kanak namun kita masih boleh cuba menerangkan kepada mereka dalam bahasa lebih mudah dan kaedah bersesuaian.

"Selain guru-guru, ibu bapa juga memainkan peranan penting dalam membentuk integriti dan sahsiah diri serta jati diri anak-anak," tambahnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!