Orang Asli mohon bantuan kerajaan hadapi cuaca panas

Jualan getah beku yang terjejas sepanjang cuaca panas ini memberi kesan kepada ekonomi masyarakat Orang Asli yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah. Gambar hiasan
Jualan getah beku yang terjejas sepanjang cuaca panas ini memberi kesan kepada ekonomi masyarakat Orang Asli yang kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah. Gambar hiasan
A
A
A

GUA MUSANG - Penduduk Orang Asli di Rancangan Pengumpulan Semula (RPS) Kuala Betis, di sini, memohon kepada kerajaan Persekutuan agar menyediakan inisiatif tambahan susulan cuaca panas berpanjangan yang melanda negara ketika ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan Kampung Orang Asli RPS Kuala Betis, Sudin Rigen berkata, sebahagian besar ketua keluarga di penempatan terbabit kebanyakannya bekerja sebagai penoreh getah.

Beliau berkata, mereka kini terpaksa berhenti bekerja buat seketika memandangkan pokok getah tidak dapat mengeluarkan susu seperti tahun sebelumnya.

"Saya memohon agar pihak berwajib memahami keperitan hidup masyarakat Orang Asli kerana kami tidak dapat menjual getah seperti biasa disebabkan cuaca terlampau panas sehinggakan pokok-pokok getah kering dan daun gugur,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Menurutnya, harga getah di sekitar kampung ini hanya RM2.80 sekilogram.

Sudin berkata, beliau yang mewakili masyarakat Orang Asli khususnya di RPS Kuala Betis merayu agar kerajaan Persekutuan dapat membantu daripada segi pemberian bantuan tunai kepada rakyat di musim kemarau ini demi kelangsungan kehidupan.

Sementara itu, salah seorang penduduk, Ali Pedik, 59, berkata, jualan getah beku yang terjejas sepanjang cuaca panas ini turut memberi kesan kepada ekonomi keluarganya.

"Buat masa ini, saya terpaksa bercuti menoreh dan terpaksa menjana pendapatan lain dengan mencari hasil hutan yang pendapatannya tidak menentu,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Turut senada, penduduk Remy Along, 39 berkata dia terpaksa beralih pekerjaan sebagai buruh ladang kelapa sawit di penempatan berkenaan.

"Sejak dua bulan lepas, saya telah mula bekerja mengutip buah kelapa sawit di sini. Saya terpaksa menukar kerja buat sementara waktu kerana kekurangan hasil getah ekoran cuaca panas,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!