JENGKA - Tanah milik kerajaan boleh diperoleh menerusi tiga cara; iaitu permohonan secara individu, Rancangan Tanah Kelompok dan Rancangan Pembesaran Kampung.

Kata Adun Kuala Sentul, Datuk Shahaniza Shamsuddin di pejabatnya, Rumah Rakyat Felda Jengka 3, petang semalam.

Beliau berkata demikian ketika memberikan penjelasan kepada kira-kira 20 penduduk Kampung Sungai Jerik, dekat sini, yang menyuarakan ketidakpuasan hati berhubung pemilihan penama dan penerima tanah anugerah kerajaan, di Kampung Sungai Jerik Baru.

"Tanah yang dimaksudkan dalam hal ini adalah tanah yang dimohon menerusi cara Rancangan Pembesaran Kampung oleh JKKB. Pengerusi JKKB telah membuat pemilihan penama, diusulkan untuk mendapat kelulusan jawatankuasa JKKB sebelum ke peringkat kerajaan negeri. Selepas mendapat kelulusan, baharulah surat tawaran diserahkan kepada penama oleh Kerajaan Negeri Pahang.

"Tanah itu adalah tanah kurnia kerajaan kepada sesiapa yang kerajaan mahu berdasarkan permohonan daripada JKKB. JKKB yang tentukan penama. Jika nama tiada di dalam senarai maka tiadalah. Syaratnya hanya untuk warganegara Malaysia. Dari segi undang-undang saya tidak boleh batalkan apa yang telah diputuskan oleh Kerajaan Negeri Pahang," katanya.

Mengulas lanjut, Shahaniza berkata, perkara ini adalah soal ketidakpuasan hati masyarakat.

[ARTIKEL BERKAITAN: Penduduk Sungai Jerik minta penjelasan]

Sekiranya penduduk tidak berpuas hati dengan pemilihan yang dibuat oleh JKKB maka mereka harus mendapatkan penjelasan dari pihak JKKB, iaitu badan yang memohon tanah ini daripada Kerajaan Negeri Pahang.

Bagaimanapun, beliau sentiasa terbuka untuk berbincang dan mencari penyelesaian.

"Penduduk yang tidak mendapat tanah pada kali ini dicadangkan memohon secara individu. Boleh cari kawasan lain yang lebih sesuai dengan merujuk kepada Pejabat Tanah untuk permohonan. Pemohon akan dipanggil untuk temuduga. Dan cara kedua melalui Rancangan Tanah Kelompok juga melalui temuduga apabila kerajaan membuka peluang.

"Namun permohonan secara individu adalah digalakkan kerana dengan cara ini, saya akan mendapat gambaran lebih jelas mengenai masalah dan keperluan individu itu sendiri. InsyaALLAH jika tiada halangan rezab dan sebagainya maka tak ada sebab untuk saya tidak memberi sokongan kelulusan," katanya.

Beliau berkata, untuk mendapat hak ke atas tanah, seseorang perlu melalui proses tapisan dan pemilihan.

"Kita akan menjalankan beberapa mesyuarat supaya pastikan mereka yang betul-betul berhak sahaja mendapatnya. Jika ada lagi kawasan lain untuk program pembesaran kampung selepas ini, saya akan pastikan individu dan persatuan-persatuan lain diberi peluang untuk memberi cadangan.

"Hal ini akan jadi pengalaman buat saya bagi menambahbaik proses pemilihan di masa akan datang. Justeru, pintu pejabat saya sentiasa terbuka untuk penduduk mengemukakan masalah. Mana yang boleh dibantu, kita akan bantu dan beri perhatian segera," katanya.

Artikel Berkaitan
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.