MUADZAM SHAH - Sebuah pesawat ringan yang menjalankan operasi meracun ulat bungkus di Felda Keratong 2, di sini, terhempas sekitar jam 3.20 petang tadi.

Dalam kejadian itu, juruterbangnya, Barry Allen Foster, 66, yang merupakan warga Australia bagaimanapun selamat.

Ketua Polis Daerah Rompin, Deputi Superitendan Azli Mohd Noor ketika dihubungi mengesahkan kejadian.

"Mangsa bagaimanapun tidak mengalami kecederaan, namun dibawa ke Pusat Kesihatan Tun Razak untuk pemeriksaan kesihatan," katanya di sini, semalam.

Menurut Azli, pesawat itu milik Syarikat Woorayi Air Services.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Bomba Pahang, Mohd Sani Harul berkata, pasukan penyelamat dengan kekuatan seorang pegawai dan tujuh anggota bersama dua jentera segera ke lokasi selepas menerima panggilan aduan pada jam 3.18 petang.

Menurutnya, jarak dari Balai Bomba dan Penyelamat Muadzam Shah untuk ke lokasi sekitar 48 kilometer dan telah tiba di sana sekitar jam 4.05 petang.

"Ketika tiba di lokasi, pasukan bomba terlibat mengesahkan sebuah pesawat ringan telah terhempas, manakala juruterbangnya selamat.

"Lokasi ia ditemui berhampiran Ladang Tabung Haji, Kota Bahagia," katanya.