Had tempoh jawatan PM: GPMS cadang tiga penggal, lebih praktikal

Laporan Sinar Harian berhubung RUU had tempoh jawatan PM.
Laporan Sinar Harian berhubung RUU had tempoh jawatan PM.
A
A
A

SHAH ALAM- Had tempoh tiga penggal bagi jawatan Perdana Menteri dilihat lebih praktikal untuk melaksanakan dasar reformasi jangka sederhana dan panjang.

Presiden Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Fazreen Fauzi berkata, pihaknya menyambut baik komitmen Perdana Menteri dalam mengemukakan cadangan had tempoh jawatan Perdana Menteri selama dua penggal sebagai sebahagian usaha pembaharuan institusi dan pengukuhan demokrasi negara.

"Seiring dengan semangat pembaharuan tersebut, GPMS mencadangkan agar tempoh tiga penggal dilihat lebih praktikal bagi melaksanakan dasar reformasi berkenaan yang memerlukan kesinambungan serta masa untuk dinilai keberkesanannya.

"Dalam masa yang sama, GPMS turut mencadangkan penetapan had umur bagi wakil rakyat sebagai langkah memperkukuh regenerasi kepimpinan negara iaitu had umur ahli parlimen tidak melebihi 75 tahun dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) tidak melebihi 60 tahun.

"GPMS berpandangan bahawa cadangan had umur ini adalah selaras dengan penetapan had umur belia bawah 30 tahun yang telah diwartakan sekali gus mewujudkan sinergi terbaik dalam ekosistem kepimpinan negara bermula daripada kepimpinan belia, kepimpinan negeri sehinggalah ke peringkat nasional," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Pada Isnin, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam perutusan Tahun Baharu berkata, rang undang-undang (RUU) berkaitan had tempoh jawatan Perdana Menteri akan dibentang pada sesi Parlimen akan datang.

Mengulas lanjut Fazreen berkata, selain itu GPMS turut mengambil kira hakikat bahawa penjawat awam negara bersara pada umur 60 tahun, justeru pelaksanaan had umur bagi ahli Parlimen dan ADUN adalah wajar dan munasabah.

"Ia selaras dengan prinsip keadilan, kecekapan serta keperluan kesinambungan kepimpinan dalam sistem pentadbiran dan legislatif negara.

"Kesinambungan dasar ini penting bagi memastikan bakat muda tidak hanya disediakan sebagai pelapis tetapi benar-benar diberikan ruang dan laluan yang jelas dalam sistem politik dan tadbir urus negara.

Artikel Berkaitan:

"Bagaimanapun cadangan ini tidak menafikan pengalaman, jasa serta sumbangan tokoh-tokoh senior sebaliknya mengiktiraf peranan penting mereka sebagai sumber kebijaksanaan dan panduan melalui peranan sebagai penasihat, pemikir dan negarawan," katanya.

Tambahnya, sehubungan itu GPMS mengalu-alukan agar cadangan-cadangan berkenaan dibincangkan secara terbuka, matang dan inklusif melibatkan parlimen, kerajaan negeri, ahli akademik, belia serta masyarakat sivil.

"Ia demi memastikan sebarang pembaharuan yang dilaksanakan benar-benar mengukuhkan sistem demokrasi serta masa depan Malaysia," katanya.

 

 

Ringkasan AI

  • Had tempoh tiga penggal bagi jawatan Perdana Menteri dilihat praktikal untuk dasar reformasi
  • GPMS mencadangkan had umur wakil rakyat maksimum 75 tahun untuk ahli Parlimen dan 60 tahun untuk ADUN
  • Cadangan ini bertujuan memperkukuhkan regenerasi kepimpinan dan sinergi dalam ekosistem kepimpinan negara
  • Penjawat awam bersara pada umur 60 tahun, maka wajar ahli Parlimen dan ADUN juga memiliki had umur
  • GPMS menggalakkan perbincangan terbuka mengenai cadangan ini untuk mengukuhkan demokrasi dan masa depan Malaysia

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!