Pakaian, buku sekolah antara belanja tertinggi

IPOH – Kenaikan kos kelengkapan persekolahan termasuk pakaian dan buku terus menjadi antara beban perbelanjaan tertinggi perlu ditanggung ibu bapa dalam membuat persiapan anak-anak menjelang pembukaan penggal persekolahan baharu.
Seorang ibu, Rini Suryana Hamidin, 43, berkata, bagi menjimatkan perbelanjaan persekolahan, anak-anaknya terpaksa mewarisi pakaian abang-abang mereka yang masih boleh digunakan.
Menurutnya, hanya barangan keperluan yang sudah tidak boleh digunakan lagi akan dibeli baharu demi keselesaan ketika belajar.
“Saya ada enam orang anak dan tahun ini empat orang bersekolah. Jadi mereka memakai pakaian sedia ada selagi masih muat kerana harga baju, seluar dan kasut kini agak mahal.
“Anak lelaki saya ramai, jadi adik akan pakai baju abang yang masih elok. Apa yang boleh dijimatkan, kami jimatkan kerana suami bekerja sendiri. Bantuan persekolahan itu pula boleh digunakan untuk keperluan lain,” katanya ketika ditemui Sinar Harian selepas Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 di bawah Inisiatif Sejahtera Madani di sebuah pasar raya di Klebang di sini pada Rabu.

Rini Suryana guru Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) menzahirkan rasa syukur kerana terpilih menerima bantuan persekolahan bagi empat anaknya yang sedang bersekolah daripada enam orang anak berusia antara empat hingga 16 tahun, sekali gus meringankan beban keluarganya.
Seorang lagi penerima, G Kalaiarasan, 28, mengakui pakaian terutama kasut sekolah agak mahal selain kos pembelian buku untuk dua orang anaknya yang berusia enam dan 10 tahun.
“Bantuan persekolahan ini pertama kali saya terima dan ia sangat membantu meringankan beban keluarga. Saya bekerja di kilang manakala isteri pula melakukan kerja pembersihan secara sambilan dengan pendapatan sekadar mencukupi keperluan harian.
“Tahun ini kos pembelian buku juga mahal, seorang anak hampir RM200. Jadi apabila ada bantuan lain untuk membeli pakaian sekolah, sedikit sebanyak ia melegakan beban kami. Cuma saya harap tahun ini anak-anak turut menerima bantuan RMT (Rancangan Makanan Tambahan),” katanya yang tinggal di Buntong.

Sementara itu, seorang penerima, Mior Mohd Asri Md Asnan, 39, berkata, kelengkapan persekolahan untuk empat orang anaknya yang berusia antara lapan hingga 17 tahun dibeli mengikut keperluan bagi memastikan perbelanjaan dapat dikawal.
Menurutnya, setiap seorang anak memerlukan perbelanjaan melebihi RM100 bagi kelengkapan persekolahan tidak termasuk yuran dan keperluan lain yang ditetapkan pihak sekolah.
“Mujurlah sekarang terdapat pelbagai pilihan pembelian dalam talian walaupun kualitinya berbeza, namun ia membantu kami berjimat.
“Bantuan persekolahan yang diterima juga amat membantu meringankan beban kami sekeluarga,” katanya yang bekerja sebagai pemandu van.
Program Kembali Ke Sekolah Tahun 2026 anjuran Pejabat Pembangunan Negeri Perak, Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) dengan kerjasama strategik Pasaraya Borong Sakan Sdn Bhd bagi membantu meringankan beban keluarga berpendapatan rendah dalam menampung keperluan persekolahan anak-anak.
Sebanyak 250 keluarga daripada golongan miskin dan miskin tegar yang berdaftar dengan eKasih di Perak menerima sumbangan berupa Baucar Kelengkapan Persekolahan bernilai RM400 melalui program berkenaan di bawah inisiatif Sejahtera Madani.
Majlis perasmian program yang diadakan di Pasaraya Borong Sakan Klebang itu disempurnakan oleh Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan, Muhammad Kamil Abdul Munim.
Ringkasan AI
- Kenaikan kos kelengkapan persekolahan beban kepada ibu bapa
- Anak-anak terpaksa mewarisi pakaian abang-abang mereka yang masih boleh digunakan
- Hanya barangan keperluan yang sudah tidak boleh digunakan lagi akan dibeli baharu
- Penerima bantuan persekolahan merasa lega kerana dapat meringankan beban keluarga
- 250 keluarga miskin di Perak menerima Baucar Kelengkapan Persekolahan bernilai RM400
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

