Tiga warga Indonesia mangsa pemerdagangan orang diselamatkan

JOHOR BAHRU – Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Negeri Johor berjaya menyelamatkan tiga wanita warga Indonesia dalam satu operasi khas di sebuah premis perniagaan di Mount Austin, di sini pada Selasa.
Menurut Pengarah JIM Johor Datuk Mohd Rusdi Mohd Darus, dalam serbuan yang dilakukan mulai jam 3.30 petang hingga 6.30 petang itu, ketiga-tiga wanita terbabit yang berusia 24 hingga 33 tahun itu sedang bekerja di premis berkenaan setelah tamat bekerja di sebuah kilang komponen aksesori kereta yang juga milik majikan mereka pada sebelah pagi.
Malah katanya, passport kesemua mangsa juga ditahan oleh majikan selain pergerakan mereka dihadkan serta disekat daripada berkomunikasi dengan keluarga.
“Kesemua wanita berkenaan dilaporkan telah bekerja sebagai pembantu rumah selama satu hingga dua tahun dan dijanjikan gaji sebanyak RM1,800 sebulan,
“Bagaimanapun, mereka tidak menerima sepenuhnya bayaran sejak bekerja sehinggalah ke hari ini.
“Majikan seorang lelaki tempatan dan dua perempuan tempatan yang masing-masing berusia dalam lingkungan 31 hingga 62 tahun telah ditahan untuk membantu siasatan,” katanya.
Tambah Mohd Rusdi, kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (ATIPSOM) 2007 (Akta 670).
Ringkasan AI
- Jabatan Imigresen Malaysia Negeri Johor menyelamatkan tiga wanita warga Indonesia dari sebuah premis perniagaan di Mount Austin
- Serbuan dilakukan pada petang Selasa dan wanita berusia 24 hingga 33 tahun itu bekerja selepas tamat waktu kerja di kilang milik majikan sama
- Passport mangsa ditahan oleh majikan dan pergerakan mereka dihadkan
- Wanita tersebut dijanjikan gaji RM1,800 sebulan tetapi tidak menerima bayaran
- Kes disiasat di bawah Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!


