• Khairudin menunjukkan tangki air di kampung Ghalib Sungai Jelutong. Khairudin menunjukkan tangki air di kampung Ghalib Sungai Jelutong.
1 /

KUALA PILAH – Sejak kebelakangan ini, gangguan bekalan air yang sering berlaku di Kampung Ghalib, dekat sini, menimbulkan rasa tidak selesa segelintir penduduk terlibat terutama ketika menyambut Ramadan.

Penduduk, Khairudin Abas, 43, berkata, masalah air di kampung itu sudah berlarutan hampir beberapa tahun.

“Kampung ini sudah disediakan sebuah tangki pengepam air, tetapi masalah ketiadaan air sering sahaja berlaku.

“Meskipun tangki itu berada tidak jauh dari rumah saya, namun kami sekeluarga masih menghadapi masalah sama disebabkan tekanan air yang rendah,” katanya kepada Sinar Harian, kelmarin.

Menurutnya, mereka sekeluarga pernah mengharungi kesengsaraan selama seminggu berikutan terputus bekalan air.

“Selama seminggu, saya sekeluarga terpaksa hidup dalam serba kekurangan kerana tiada bekalan air bersih. Aktiviti harian seperti memasak, membasuh baju, mandi dan sebagainya agak terbatas.

“Bagi jiran yang memiliki anak kecil, sudah pasti mereka berasa lebih sukar. Ini belum lagi Hari Raya Aidilfitri, sudah pasti rumah saya nanti tiada air kerana penggunaan air meningkat secara mendadak,” katanya.

Katanya, tangki tersebut sudah tidak mempunyai air berikutan tanda paras air mencecah kepada bacaan kosong.

“Saya lihat tanda aras tong tersebut berada di aras kosong, ini bermaksud tong berkenaan tiada air. Berkemungkinan pelampung air rosak atau sebagainya. Sepatutnya, proses mengepam air secara automatik bukan secara manual.

“Justeru, saya berharap pihak berkaitan dapat turun padang bagi melakukan pemeriksaan lanjut supaya masalah ini dapat diselesaikan segera sekali gus tidak membebankan penduduk,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi penduduk, Meah Rampal, 78, melahirkan rasa kecewa berikutan masalah air masih belum selesai sehingga kini.

“Setiap kali tiba Ramadan dan Syawal, air pasti tiada. Kadang-kadang anak-anak cucu juga kurang gemar balik ke sini kerana tiada air.

“Biasanya waktu kemuncak iaitu sekitar jam 6 pagi hingga malam tiada air. Bila tengah malam, barulah ada air. Esok pula, air kembali tiada hingga timbul rasa bosan kerana perlu menadah air setiap hari,” katanya.