MELAKA - Kadar jenayah indeks negeri mencatatkan penurunan sebanyak 15.5 peratus pada tahun lepas dengan 3,096 kes direkodkan berbanding 3,663 pada 2016.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Jalil Hassan berkata, 841 daripadanya melibatkan kes jenayah kekerasan manakala selebihnya adalah jenayah harta benda.

"Berdasarkan rekod, jenayah kekerasan pada tahun lepas turut menurun 27.19 peratus berbanding 1,155 kes pada 2016. Jumlah kes jenayah harta benda juga menurun 253 kes atau 10.09 peratus berbanding 2,508 kes pada 2016," katanya kepadapemberita di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata daripada jumlah keseluruhan kadar jenayah indeks yang direkodkan, sebanyak 2,462 kes dilaporkan berlaku di Melaka Tengah diikuti Alor Gajah (376 kes) dan Jasin (258 kes).

Selain itu, katanya sebanyak 1,995 daripada 3,096 kes yang direkodkan pada tahun lepas telah diselesaikan manakala bagi 2016 pula ialah 2,167 daripada 3,663 kes diselesaikan.

Abdul Jalil berkata penurunan indeks itu adalah ekoran peningkatan usaha Kontinjen Polis Melaka dalam membanteras jenayah secara sistematik dan bersepadu dengan kerjasama pelbagai pihak termasuk khususnya masyarakat setempat.

Beliau berkata, masyarakat atau orang ramai boleh menyalurkan maklumat berkaitan jenayah yang berlaku di kawasan mereka bagi tujuan pembanterasan awal di talian 06-2854222 (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Melaka), hotline (06-2851999) atau khidmatpesanan ringkas (012-2244999).

Dalam pada itu, beliau berkata kadar jenayah indeks bagi bulan pertama tahun ini turut menurun iaitu 11 kes kepada 301 kes berbanding Januari tahun lepas.

"Sebanyak 122 kes daripada 301 kes bulan lepas telah kita selesaikan. Jumlah kes jenayah indeks yang tertinggi dilaporkan pada bulan lepas adalah di  Melaka Tengah iaitu 243 kes diikuti Alor Gajah (36 kes) dan Jasin (22 kes)," katanya. - Bernama