MELAKA - Gabenor Wilayah Guangdong, Zhu Xiodan, menyatakan minat beliau dalam bidang pelancongan dan perindustrian di Melaka, yang berpotensi diteroka bersama oleh Melaka dan Guangdong.
   
Ketua Menteri Melaka Datuk Seri Idris Haron berkata Zhu menyatakan minat dalam projek pelabuhan pelancongan yang kini dalam peringkat kajian oleh Melaka dan kawasan industri maritim yang bakal mewujudkan beberapa kawasan perindustrian.
   
"Saya telah mengatakan kepada beliau (Zhu) kawasan di sini (di Pulau Melaka) cukup sesuai untuk pelabuhan pelancongan itu dan sememangnya antara tujuan asal ia (Pulau Melaka) dibina.
   
"Beliau yang bersikap terbuka dan progresif dalam menilai potensi Melaka, turut menyatakan tidak salah beliau datang dan memilih Melaka dalam lawatan pertamanya ke Malaysia," katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
   
Terdahulu, beliau mengiringi Zhu melawat projek pembangunan hartanah mega Melaka Gateway di Pulau Melaka, Bandar Hilir di sini.
   
Zhu dalam rangka lawatan kerja selama sehari ke Melaka hari ini.
   
Idris berkata Zhu turut meminta laporan tentang kemajuan Melaka Gateway bagi memudahkan beliau mempromosikan projek itu kepada pelabur dan penggiat industri di Gunagdong.
   
Beliau berkata Zhu mahukan hubungan dua hala yang sistematik dengan Melaka, yang dijalin secara berperingkat-peringkat, dengan meletakan penanda aras yang perlu dicapai pada setiap peringkat.
   
"Saya melihat sendiri kesungguhan dan semangat beliau dalam memastikan hubungan dua hala ini terjalin dengan sempurna, kukuh dan mampu menguntungkan kedua-dua belah pihak, saya akan pastikan hubungan ini berjaya," katanya.
   
Untuk itu, kerajaan negeri akan mewujudkan portfolio baharu,  perdagangan antarabangsa, yang akan diletakkan di bawah tanggungjawab Exco Pengangkutan dan Pemulihan Projek Melaka Datuk Lim Ban Hong.
   
"Melalui portfolio ini, kerajaan negeri akan dapat meneliti semua urusan perdagangan antarabangsa terutama melibatkan hubungan antara Melaka dan Guangdong," katanya. - Bernama

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • MELAKA TENGAH - Pembangkang yang tidak bertanggungjawab mengaitkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dengan skandal rasuah keluarga Diraja Arab Saudi dianggap telah 'bankrap' idea.
  • AYER KEROH - Kerajaan negeri akan terus menegakkan syiar Islam di Melaka menerusi pembinaan 40 masjid dalam tempoh lima tahun ini.
  • BANDARAYA MELAKA - Kerjasama pintar antara kerajaan negeri dan Telekom Malaysia (TM) telah memberi impak positif kepada industri pelancongan negeri dengan menyaksikan peningkatan peratusan ketibaan pelancong.
  • MELAKA - Kerajaan Negeri Melaka akan memberikan ganjaran sebagai menghargai sumbangan jaguh pecut negara, Khairul Hafiz Jantan yang mengharumkan nama Malaysia pada Sukan SEA Ke-29 Kuala Lumpur 2017 (KL2017).
  • BANDARAYA MELAKA - Kerajaan negeri tidak bercadang untuk mewajibkan pemilik premis berlesen di negeri ini mengibarkan Jalur Gemilang sempena Hari Kebangsaan tahun ini.