KOTA BHARU - Polis Kelantan menahan tiga suspek yang disyaki terlibat dalam kes pukul sehingga menyebabkan kematian seorang lelaki yang disyaki mencuri motosikal di Kampung Cherang Tuli, Pasir Puteh, Ahad lalu.

Ketua Polis Negeri, Datuk Jalaluddin Abdul Rahman berkata, setakat ini ketiga-tiga suspek ditahan reman selama seminggu bermula kelmarin, untuk membantu siasatan berkaitan kes berkenaan.

“Difahamkan kes yang disyaki berlaku di Mahligai, Bachok itu berlarutan hingga ke Kampung Cherang Tuli di Pasir Puteh, apabila lelaki berkenaan melarikan diri dengan motosikal dan kemudiannya dikejar oleh ketiga-tiga suspek terbabit.

“Dipercayai selepas menahan lelaki itu, ketiga-tiga suspek yang berusia 16 hingga 21 tahun itu turut melepaskan beberapa tumbukan sehingga menyebabkan kecederaan kepada lelaki itu,” katanya ketika ditemui dalam majlis penyerahan sumbangan kepada wira Polis Di Raja Malaysia Op Daulat di Lahad Datu daripada masyarakat Cina semalam.

Jalaluddin berkata, selepas kejadian itu, ketiga-tiga suspek membawa lelaki itu yang mengalami bengkak-bengkak di muka termasuk beberapa kecederaan di bahagian badan ke sebuah balai polis di Pasir Puteh, untuk membuat laporan kes kecurian motosikal.

“Ekoran kecederaan yang dialami, dia dirujuk ke Hospital Tengku Anis, Pasir Puteh, sebelum dihantar ke Hospital Universiti Sains Malaysia untuk rawatan susulan namun disahkan meninggal dunia semasa menerima rawatan jam 11.30 pada malam Isnin lalu.

“Akibat kematian mangsa yang juga merupakan buruan polis berkait beberapa kes jenayah, ketiga-tiga suspek ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • KAJANG - Anak kepada pendakwah terkenal, Tuan Asmawi Tuan Umar, cedera dipercayai dipukul seorang remaja di luar Surau Impian Murni di sini, Isnin lalu.
  • PARIT BUNTAR - Seorang pelajar perempuan tingkatan dua ditemukan mati di dalam bilik asrama puteri di Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SBAK) Al Hidayah, Parit Abas, Kuala Kurau dekat sini, hari ini.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.