• Mahmad Bidin Tertuduh yang menutup mukanya dengan pakaian meninggalkan mahkamah selepas menjelaskan denda berkenaan, semalam.
1 /

KOTA BHARU – Seorang bekas ketua polis balai di sini dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, semalam atas tuduhan merogol seorang gadis berusia 14 tahun, tiga tahun lalu.

Anggota berpangkat Sarjan Mejar itu bagaimanapun mengaku tidak bersalah.

Mahmad Bidin, 52, dituduh merogol mangsa di Pejabat Ketua Polis Balai, Balai Polis Binjai di sini pada jam 2.30 petang, 15 Oktober 2009.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya negeri, Intan Nur Hilwani Mat Rifin.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 376(1) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara yang boleh sampai 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebatan, jika sabit kesalahan.

Dia yang diwakili peguam bela, Rosmizan Sulaiman memohon jaminan minimum dikenakan berikutan anak guamnya itu menerima separuh gaji akibat ditahan kerja.

Hakim Azman Abdullah yang mempertimbangkan rayuan itu membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dengan syarat tertuduh tidak boleh berkomunikasi dengan mangsa.

“Jika gagal dipatuhi, jamin secara automatiknya terbatal,” katanya.