KLUANG - Pergaduhan antara tiga sahabat sehingga menyebabkan salah seorang mati dalam kejadian di hadapan pasar raya Song Mart, di sini, Isnin lalu berjaya diselesaikan polis dalam tempoh 30 minit.

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Abdul Majid Mohd Ali berkata, Pusat Kawalan Daerah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang menerima maklumat mengenai insiden pergaduhan di sebuah pusat hiburan kira-kira jam 4.50 petang.

"Berdasarkan maklumat tersebut, polis ke tempat kejadian dan mendapati suspek telah bertindak menyerang serta menikam dua rakannya.

"Suspek yang berusia 26 tahun itu adalah bekas pekerja pusat hiburan tersebut dengan niat asal untuk melawat pusat berkenaan.

“Namun, disebabkan salah faham suspek tidak berpuas hati kerana dua kenalannya telah mengganggu beberapa pelanggan di pusat tempat mereka bekerja.

“Suspek pada awalnya menyerang salah seorang mangsa dengan menggunakan gunting menyebabkan mangsa melarikan diri, pada masa yang sama mangsa yang juga si mati berusia 37 tahun bertindak menghalang tindakan suspek. Tindakan itu menyebabkan suspek naik berang lalu menyerang dan menikam mangsa beberapa kali dengan menggunakan gunting yang dipegang.

“Si mati sempat melarikan diri keluar dari pusat berkenaan, namun suspek mengejar dan menyerang mangsa sehingga jatuh terbaring di hadapan pasar raya tersebut,” katanya dalam sidang media yang diadakan di IPD Kluang, semalam.

Abdul Majid berkata, bertindak atas maklumat kira-kira jam 5.20 petang hari yang sama, polis berjaya menangkap suspek di sekitar kawasan kejadian.

Hasil siasatan awal, suspek mengaku mencederakan mangsa yang juga rakannya dengan alasan  tidak puas hati.

“Dalam tangkapan tersebut polis berjaya merampas satu gunting, beg galas, baju dan seluar pendek yang mempunyai kesan darah. Dalam pada itu, hasil ujian air kencing ke atas suspek mendapati suspek positif dadah sewaktu kejadian tersebut berlaku dan suspek tidak mempunyai rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun, hasil bedah siasat mendapati si mati mengalami kecederaan teruk disebabkan beberapa tikaman yang dilakukan oleh suspek manakala, seorang lagi mangsa mengalami kecederaan ringan sahaja.

“Kes  disiasat di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh dan Seksyen 307 kanun yang sama bagi kesalahan cubaan membunuh. Suspek ditahan reman tujuh hari bermula semalam (kelmarin),” katanya.

Artikel berkaitan yang patut anda baca :
  • TANGKAK - Teka-teki kehilangan suaminya yang tidak pulang makan tengahari di rumah dan menjemput anak dari sekolah seperti kebiasaan terjawab apabila lelaki itu ditemui mati dalam sebuah bangsal di kebun kelapa sawit, di Sagil, di sini.
  • GUAR CHEMPEDAK - Seorang lelaki yang tinggal seorang diri di dalam sebuah bangsal yang menjadi tempatnya berteduh di Kampung Tok Kau ditemui mati pada jam 11 pagi semalam oleh penduduk kampung.
www.sinarharian.com.my tidak bertanggungjawab di atas setiap pandangan dan pendapat yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia adalah pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pandangan dan pendirian kami.