KOTA TINGGI – Sekumpulan lanun dari Indonesia yang berhasrat merompak kapal tangki minyak bukan sahaja berputih mata, bahkan ditangkap pihak berkuasa di perairan Mersing, kira-kira jam 6.25 pagi tadi.

Ketua Pengarah Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim), Laksamana Maritim Datuk Seri Zulkifili Abu Bakar berkata, seramai 14 perompak berjaya diberkas dan ditumpaskan oleh Pasukan Tindakan Khas (PTK) Maritim Malaysia di atas kapal MT Bright.

Menurutnya, sebelum itu, perompak-perompak dilaporkan telah merompak kapal tangki MT Lee Bo dan mengambil barang-barang peribadi kru kapal namun mereka gagal merompak kargo kapal kerana tiada muatan minyak.

“Siasatan awal mendapati MT Bright telah merapati MT Lee Bo bagi tujuan rompakan. Penahanan ini adalah susulan penerimaan maklumat risikan mengenai sekumpulan perompak sedang merompak kapal tangki MT Lee Bo.

“Pusat Operasi Maritim Malaysia telah mengarahkan KM Sebatik yang ketika itu sedang melakukan Operasi Pagar Laut bagi mengesan kapal tangki terbabit. Apabila MT Lee Bo berjaya ditemui, KM Sebatik telah melakukan pemeriksaan dan mendapati seorang juragan dan 12 kru iaitu enam warga Indonesia dan enam Sri Lanka berada di atas kapal,” katanya pada sidang media, hari ini.

Zulkifli berkata, siasatan mendapati suspek mengambil hampir kesemua barang-barang peribadi kru seperti wang tunai dan komputer dan beberapa kru kapal mengalami kecederaan ringan.

Katanya, kesemua perompak yang ditahan dibawa ke pejabat Zon Maritim Mersing untuk siasatan lanjut di bawah Kanun Keseksaan, Seksyen 397 kerana melakukan rompakan secara berkumpulan.

“Dalam perkembangan kes ini, rakan strategik Maritim Malaysia iaitu Wastern Fleet Quick Response dari Tentera Nasional Indonesia, Angkatan Laut (WFQR AL) dari Lantamal IV dan Lanal Batam berjaya menahan dua lelaki di Batam yang dipercayai perancang utama bagi kes rompakan ini.   

“Penahanan dua individu berusia 40 ke 50 tahun ini dilakukan pada jam 9.30 pagi (waktu Malaysia) iaitu sejurus selepas Maritim Malaysia menangkap kesemua perompak MT Lee Bo.

“Agensi ini merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada WFQR AL yang telah bekerjasama dengan Bahagian Perisikan Maritim Malaysia,” katanya.