[VIDEO] Polis siasat insiden nelayan Malaysia, 'coast guard' Singapura

Nelayan Malaysia mendakwa dihalau pengawal pantai/sempadan Singapura pada Isnin.
Nelayan Malaysia mendakwa dihalau pengawal pantai/sempadan Singapura pada Isnin.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI – Polis menjalankan siasatan lanjut berhubung insiden antara sekumpulan nelayan Malaysia dengan pihak pengawal pantai/sempadan (coast guard) Singapura, yang dipercayai berlaku di perairan negara berhampiran sempadan republik berkenaan, pada Isnin.

Menurut Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Assisten Komisioner Rahmat Ariffin video ‘perang mulut’ itu tular di media sosial hingga menimbulkan pelbagai spekulasi dalam kalangan orang ramai.

“Video berdurasi 2:02 saat dan 0:43 itu menunjukkan satu insiden pertengkaran mulut antara nelayan Malaysia dan pihak pengawal pantai/sempadan dari Singapura.

“Susulan itu satu laporan polis telah dibuat oleh nelayan Malaysia yang terlibat dan kita akan jalankan siasatan lanjut,” katanya menerusi satu kenyataan media pada Isnin.

Sebelum itu tular dua video yang memaparkan sekumpulan nelayan dari negara ini bertengkar dengan pihak pengawal pantai/sempadan Singapura.

Pertengkaran itu dipercayai berlaku akibat kumpulan nelayan dari Malaysia telah ‘dihalau’ pihak pengawal pantai/sempadan Singapura itu biarpun masih lagi berada di perairan negara.

Sementara itu, Rahmat berkata, orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi berhubung perkara berkenaan yang boleh menganggu ketenteran awam.

“Orang ramai dinasihatkan jangan buat spekulasi kerana polis sedang jalankan siasatan lanjut,” katanya.

Artikel Berkaitan: