JKKP Perak siasat insiden pekerja maut

JKKP Perak siasat insiden pekerja maut dalam dua kejadian berasingan di Lumut dan Simpang Pulai, Rabu lalu.
JKKP Perak siasat insiden pekerja maut dalam dua kejadian berasingan di Lumut dan Simpang Pulai, Rabu lalu.
A
A
A

IPOH - Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak siasat insiden pekerja maut dalam dua kejadian berasingan di Lumut dan Simpang Pulai, Rabu lalu.

Pengarahnya, Dr Rabaayah Daud berkata, pasukan pegawai penyiasat diarahkan menjalankan siasatan kejadian di Terminal Maritim Lumut dan kawasan kuari di Keramat Pulai, Simpang Pulai itu.

"Kejadian pertama melibatkan pemandu lori berusia 20 tahun yang maut selepas kenderaannya terjatuh ke dalam laut ketika menjalankan aktiviti pemunggahan batu kapur.

"Susulan kejadian itu, satu arahan dikeluarkan kepada majikan untuk mengambil tindakan penambahbaikan agar insiden sama tidak berulang," katanya.

Menurut beliau, siasatan dijalankan di lokasi dua lelaki maut setelah jengkaut yang dipandu terbalik dari cerun jalan di kawasan kuari.

"JKKP telah mengeluarkan arahan larangan kacau ganggu sehingga siasatan lanjut dan penambahbaikan diambil majikan.

"Satu notis pembaikan telah dikeluarkan kepada majikan kerana gagal menyediakan sistem kerja selamat bagi kerja pengoperasian jengkaut di kawasan kuari tersebut," katanya.

Rabaayah berkata, JKKP akan mengambil tindakan perundangan ke atas pihak yang bertanggungjawab sekiranya terdapat pelanggaran di bawah Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994 bagi kedua-dua kes itu.

"JKKP memandang serius setiap kemalangan melibatkan pekerja dan orang awam serta majikan mempunyai kawalan penuh sebarang aktiviti di tempat kerja.

"Kejadian seperti ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC)," katanya.