Charles saman kerajaan

Charles Santiago
Charles Santiago
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago bertindak memfailkan saman terhadap kerajaan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung nasihat pembubaran Parlimen bagi mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) pada musim banjir tahun ini.

Menurutnya, ia susulan nasihat Perdana Menteri terhadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berhubung PRU15 itu didakwa terbatal kerana tidak mendapat sokongan majoriti Parlimen dan kabinet.

"Sokongan UMNO untuk pembubaran Parlimen hanya boleh menyumbang kira-kira 17 peratus daripada ahli Parlimen.

"Parti politik lain secara terbuka tidak bersetuju dengan keputusan ini termasuk Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

"Dengan mengandaikan bahawa semua ahli Parlimen PH dan PN menentang pembubaran itu, ini akan membentuk jumlah 135 ahli Parlimen, majoriti yang jelas," katanya dalam siaran di Facebooknya pada Rabu.

Pada Isnin, Ismail Sabri mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa pada Isnin bagi memberi laluan kepada PRU15.

Ulas Charles, terdapat seramai 80 Menteri dan Timbalan Menteri dalam kabinet, dengan hanya 29 menteri daripada BN.

"Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara terbuka tidak bersetuju untuk pilihan raya umum diadakan pada 2022.

Artikel Berkaitan:

"Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah menyatakan secara terbuka bahawa Ismail Sabri tidak memaklumkan kepada kabinet mengenai pembubaran itu.

"Oleh itu, saya membawa Ismail Sabri dan defendan lain ke mahkamah atas sebab utama keputusan mengadakan PRU pada musim tengkujuh boleh menyebabkan kehilangan nyawa dan mata pencarian," katanya.

Dalam pada itu, menurutnya, perbicaraan tersebut telah ditetapkan pada 20 Oktober di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

"Berhubung dengan itu, saya juga percaya bahawa pembubaran Parlimen tidak mempunyai kesahihan undang-undang.

"Tambahan pula, surat berulang kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak diakui dan tidak dijawab, menyebabkan saya tiada pilihan selain mencari jawapan melalui saluran undang-undang," katanya.