Dakwa Kedah dipaksa miskin, Sanusi tidak 'move on' - Pengerusi MADA

Dr Ismail. Laporan Sinar Harian pada 15 Mei 2024
Dr Ismail. Laporan Sinar Harian pada 15 Mei 2024
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah tidak boleh bergantung kepada peruntukan RM200 juta daripada Kerajaan Persekutuan semata-mata, sebaliknya perlu lebih kreatif bagi menambah dan menjana pendapatan negeri.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), Datuk Dr Ismail Salleh berkata, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Md Sanusi Md Nor sentiasa berfikiran negatif apabila menyatakan Kedah dipaksa menjadi miskin disebabkan berkorban untuk menanam padi.

Beliau berpandangan, kenyataan Menteri Besar Kedah itu menunjukkan kerajaan negeri ketika ini seakan-akan telah buntu untuk mendapatkan sumber pendapatan lain.

“Pada sidang akhbar selepas mesyuarat Exco semalam (Rabu), nampak Menteri Besar Kedah tak boleh ‘move on’ tentang pendapatan Kedah. Katanya Kedah dipaksa jadi miskin sebab berkorban untuk padi, inilah pemikiran negatif beliau secara berterusan.

“Sedangkan, kawasan tanaman padi MADA hanya 10 peratus dari keluasan Kedah, masih ada 90 peratus lagi tanah yang boleh dibuat perumahan dan industri dengan cukai tanah yang lebih tinggi,” katanya dalam kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata sedemikian ketika mengulas kenyataan Muhammad Sanusi bahawa Kedah disuruh berkorban untuk mengekalkan tanah bagi tanaman padi hingga menyebabkan pendapatan cukai negeri menjadi kecil.

Dalam perkembangan sama, beliau mendapati, usaha untuk memohon peruntukan RM200 juta dari Kerajaan Persekutuan juga dilihat tidak serius kerana kerajaan negeri tidak bersedia mewartakan kawasan tanaman padi di bawah MADA.

"Jikalau serius perlu pewartaan (kawasan tanaman padi) dan (kerajaan negeri) boleh usahakan untuk mendapatkan pampasan kredit karbon,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, Dr Ismail berkata, kerajaan Persekutuan pasti akan nampak keseriusan kerajaan negeri dalam usaha tingkatkan hasil padi demi keterjaminan makanan negara.

Pada Rabu, media melaporkan kerajaan Kedah menuntut bayaran sebanyak RM200 juta setahun atas komitmen mengekalkan tanah sawah sehingga kehilangan pendapatan demi menjamin sekuriti makanan negara.

Muhammad Sanusi berkata, beliau menyifatkan permohonan Kedah terhadap Kerajaan Persekutuan adalah berasas dan munasabah.

Beliau berkata, permintaan Kedah perlu dipertimbangkan memandangkan permohonan membangunkan tanah sawah bagi tujuan perumahan, industri dan komersial di negeri ini meningkat setiap tahun.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!