[VIDEO] PM umum Parlimen bubar, beri laluan PRU15

Ismail Sabri
Ismail Sabri
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan Parlimen dibubarkan berkuat kuasa hari ini untuk memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ismail Sabri mengumumkan perkara itu secara langsung menerusi saluran televisyen tempatan jam 3 petang pada Isnin.

"Selaras dengan Perkara 40(2)(b) dan Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, Yang di-Pertuan Agong telah bertindak menurut budi bicara baginda dengan memperkenankan permintaan saya supaya Parlimen ke-14 dibubarkan pada hari ini, Isnin 10 Oktober 2022," katanya.

Menurutnya, Ketua-ketua Kerajaan Negeri kecuali Sabah, Sarawak, Melaka dan Johor disyorkan supaya mengambil tindakan sewajarnya bagi membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing pada tarikh yang sama dengan Pilihan Raya Umum peringkat Parlimen, meskipun beberapa buah negeri memutuskan untuk tidak membubarkan DUN masing-masing.

Jelasnya, ia wajar dilaksanakan serentak bagi memastikan rakyat tidak terbeban, selain kelancaran proses demokrasi serta menjimatkan kos.

"Penetapan tarikh-tarikh hari penamaan calon dan hari mengundi serta urusan-urusan lain yang berkaitan adalah tertakluk kepada keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

"Dengan pengumuman ini, mandat akan dipulangkan kepada rakyat," katanya.

Ismail Sabri berkata, mandat rakyat adalah penawar ampuh bagi negara menzahirkan kestabilan politik dan mewujudkan kerajaan teguh, stabil serta dihormati selepas PRU15.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, proses itu berlandaskan sistem demokrasi berparlimen dan Raja Berperlembagaan sebagai pasak pemerintahan, sejak negara mencapai kemerdekaan.

"Pembubaran ini dilaksanakan bagi menoktahkan suara-suara yang selama ini meratib keabsahan kerajaan, kerajaan pintu belakang dan kerajaan tebuk atap.

“Semoga rakyat menggunakan kuasa yang ada pada mereka, untuk memilih kerajaan yang mampu meneruskan pelaksanaan Bajet Keluarga Malaysia 2023, mengekalkan kestabilan politik, memulih dan mengukuh ekonomi serta mengekalkan keharmonian dan perpaduan Keluarga Malaysia yang berbilang agama, kaum dan etnik,” katanya.

Dalam ucapannya, Ismail Sabri turut menzahirkan ucapan terima kasih ke atas Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas pelantikannya sebagai Perdana Menteri Malaysia ke-9, dalam keadaan negara yang sangat mencabar ketika itu.

"Pada kesempatan ini, izinkan juga saya menzahirkan setinggi-tinggi terima kasih kepada seluruh Keluarga Malaysia kerana menyokong dan mendokong saya selama ini dalam melunaskan amanah serta tanggungjawab sebagai ketua kerajaan," katanya.

Tambah Ismail Sabri, Parlimen Penggal ke-14 telah melakarkan warna suram kepada landskap politik negara.

"Belum pernah terpateri dalam sejarah, berlakunya pertukaran tiga Perdana Menteri dan kerajaan memerintah bersilih ganti dalam penggal yang sama.

"Ini memberi dampak memburuk terhadap sosiopolitiko-ekonomi," katanya.

Beliau berkata, percakaran tanpa henti antara pemain politik dapat dikekang daripada berterusan dengan membawa mereka ke meja rundingan, bagi meredakan keadaan.

"Kami mencari kebersamaan, bukan perbezaan. Kami mencari kesepakatan, bukan perpecahan," katanya.

Ismail Sabri berkata, pandemik Covid-19 yang melanda negara pada awal tahun 2020 juga mengakibatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) menguncup 5.5 peratus.

Katanya, ia merupakan penguncupan paling besar sejak krisis kewangan Asia 1997 dan 1998, namun kerajaan dengan langkah-langkah responsif dan proaktif telah berjaya membawa negara keluar daripada kemelut ekonomi.

"Terbaharu, Bank Dunia menyemak semula unjuran KDNK negara bagi tahun 2022 kepada 6.4 peratus, berbanding 5.5 peratus yang diunjurkan pada Mac lalu.

"Alhamdulillah, Malaysia diiktiraf sebagai negara ke-18 paling aman di dunia daripada 163 negara, dan kedua di Asia berdasarkan Indeks Keamanan Global (GPI) 2022, yang menjadi ukuran utama kedamaian global di dunia," katanya.

Ismail Sabri berkata, ia merupakan pencapaian terbaik Malaysia sejak GPI diperkenalkan pada 2008.

Selain itu beliau berkata, dalam tempoh hanya setahun, kerajaan berjaya kembalikan pasaran buruh ke tahap guna tenaga penuh.

"Kadar pengangguran telah menurun untuk 12 bulan berturut-turut, iaitu 3.7 peratus pada Julai 2022, berbanding 4.8 peratus pada Julai 2021," katanya.

Menurutnya, Pelaburan Langsung Asing (FDI) juga meningkat dengan ketara.

"Dalam tempoh enam bulan pertama tahun ini sahaja, kita mendapat RM47.4 bilion berbanding sepanjang tahun lepas kita hanya memperoleh RM48.1 bilion," katanya.

Ismail Sabri berkata, keyakinan dan minat pelabur terhadap Malaysia tidak meningkat secara tiba-tiba, sebaliknya ia didorong langkah proaktif kerajaan yang melaksanakan dasar-dasar mesra pelabur.

"Ini termasuklah perjanjian bilateral yang dimeterai pada setiap misi saya ke luar negara yang menjadikan Malaysia antara destinasi utama pelaburan dunia," katanya.

Beliau berkata, jumlah perdagangan negara juga meningkat sebanyak 33.1 peratus kepada RM1.87 trilion bagi tempoh Januari hingga Ogos 2022, berbanding RM1.41 trilion pada tahun sebelum ini.

Menurutnya, Bajet 2023 yang dibentangkan di Dewan Rakyat pada Jumaat lalu merupakan bajet yang terbesar dalam lipatan sejarah negara.

"Dengan nilai RM372.3 bilion, ia membuktikan iltizam kerajaan dalam memastikan tiada siapa pun yang dipinggirkan.

"Seawal usia dalam kandungan, sehingga ke usia emas, dari peniaga di ceruk desa sehinggalah ke konglomerat di tengah kota. Semuanya akan memperoleh limpah nikmat daripada bajet ini," katanya.