X

Kindly register in order to view this article
!

Nurul Izzah Anwar
Nurul Izzah Anwar
A
A

SHAH ALAM - Tindakan Naib Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menghina Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad semata-mata kerana keturunan bapanya amat mengecewakan.

Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar berkata, tindakan itu amat mengecewakan apatah lagi ia dilakukan oleh pemimpin nombor dua negara.

Menurutnya, sebagai seorang pemimpin, Ahmad Zahid seharusnya menunjukkan tauladan yang baik dan Islamik dari segi tindakan mahupun percakapannya.

“Sebagai umat Islam, Ahmad Zahid tidak wajar bermain dengan politik perkauman. Apatah lagi, melibatkan keturunan dan individu yang bapanya sudah meninggal dunia.

“Saya bimbang, tindakan Ahmad Zahid ini akan menyebabkan musuh menyiasat pula asal usul keturunan beliau. Tindakan sebegini sudah pasti tidak membantu, malahan tidak memajukan rakyat Malaysia,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kelmarin, Ahmad Zahid ketika berucap merasmikan majlis penutup mesyuarat bahagian Umno Kelana Jaya mendedahkan mempunyai bukti nama sebenar Mahathir ialah Mahathir anak lelaki  Iskandar Kutty.

“Ini kad pengenalan biru dia dulu. Nama dia Mahathir anak lelaki Iskandar Kutty. Nombor kad pengenalan biru dia. Ini yang dihantar oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN),” dakwa Ahmad Zahid.

Tambahnya lagi, bekas perdana menteri keempat itu hanya menggunakan orang Melayu sepanjang berkuasa selama 22 tahun.

Disyorkan artikel ini:

Tambah Izzah, rakyat sudah muak dengan politik perkauman sebaliknya kebajikan dan kehidupan mereka perlu dibela.

“Perkauman tidak akan menyelesaikan masalah rakyat, malah menanam kebencian,” katanya.

Sementara itu, anak bekas perdana menteri keempat, Datin Paduka Marina tidak mahu mengendahkan kata-kata Ahmad Zahid itu.

“Saya tiada masalah walaupun gelaran itu salah sebab saya bukan rasis. Sesiapa sahaja datuk nenek kita, kita mesti hormat kerana tanpa mereka, kita tidak akan wujud hari ini,” katanya.


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!