PRK KKB: Calon PH lancar manifesto minggu depan

Sock Tao menjawab pertanyaan media ketika ditemui pada sesi ramah mesra di Pasar Karat Batang Kali sempena kempen PRK Kuala Kubu Baharu pada Ahad. Foto Bernama
Sock Tao menjawab pertanyaan media ketika ditemui pada sesi ramah mesra di Pasar Karat Batang Kali sempena kempen PRK Kuala Kubu Baharu pada Ahad. Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - Calon Pakatan Harapan (PH), Pang Sock Tao akan melancarkan manifesto sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) minggu depan.

Bekas Setiausaha Akhbar Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu berkata, ketika ini, manifesto berkenaan masih di peringkat perancangan serta penelitian.

"Apabila sudah dilancarkan nanti, seluruh jentera akan bekerja keras bagi memastikan masyarakat di sini tahu dan mempunyai maklumat mengenai apa tawaran yang kita akan berikan kepada mereka.

"Semestinya ini juga satu cabaran kerana penyandang (mendiang Lee Kee Hiong) menjalankan tugas dengan baik dan amat aktif dengan kegiatan masyarakat di sini. Jadi selain tawaran manifesto, saya akan berusaha untuk kekalkan momentum itu termasuk hubungan baik dengan semua ketua kampung dan ahli majlis demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyertai Timbalan Pengerusi DAP Kebangsaan, Gobind Singh Deo ke Majlis Penyerahan Borang Penubuhan Cawangan DAP Melayu baharu di Pusat Khidmat Ahli Dewan Undangan Negeri Kuala Kubu Baharu di sini pada Ahad.

Ditanya mengenai penerimaan pengundi Melayu di kawasan DUN itu kepada beliau yang mewakili Kerajaan Perpaduan, Sock Tao berkata, sambutan mereka amat baik.

"Setakat ini, saya sudah ke kawasan Melayu di sekitar Batang Kali dan sambutan mereka amat baik malah banyak memberikan ucapan, kata-kata semangat dan galakan sekali gus memberi keyakinan kepada saya untuk mempertahankan kerusi KKB ini,” katanya.

Mengulas mengenai status sebagai calon bukan anak tempatan, Sock Tao berkata, ia tidak menjadi isu kerana KKB bukanlah asing kepada beliau kerana pernah mengikuti gerak kerja Kee Hiong termasuk menyantuni masyarakat di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

"Sayapun orang Selangor, belajarpun di Selangor, hati sayapun sudah ditawan dengan keindahan Kuala Kubu Baharu ini... cuma cabaran kita ketika ini ialah untuk menarik pengundi luar untuk pulang mengundi,” katanya.

Proses PRK KKB, yang bermula semalam, menyaksikan Sock Tao ditentang tiga pencabar iaitu Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor, Khairul Azhari Saut mewakili Perikatan Nasional, Hafizah Zainuddin daripada Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Nyau Ke Xin (Bebas).

PRK itu diadakan susulan kematian Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei dan 7 Mei sebagai pengundian awal. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!