PRK KKB: PRM lancar manifesto mengandungi enam tawaran

Hafizah. Foto Bernama
Hafizah. Foto Bernama
A
A
A

HULU SELANGOR - Parti Rakyat Malaysia (PRM) pada Ahad melancarkan manifesto Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) yang mengandungi enam tawaran.

Antara tawaran itu ialah menubuhkan hab teknologi tumbuhan herba bagi tujuan perubatan tradisional, menggalakkan warga KKB terlibat dengan aktiviti ekonomi ekopelancongan serta memastikan infrastruktur kemudahan awam, bangunan kerajaan, balai polis dan sistem perparitan dalam keadaan baik dan selamat.

Turut terkandung dalam manifesto itu ialah meningkatkan peruntukan kebajikan kepada keluarga penjawat awam yang bergred rendah, wanita, warga emas dan orang kurang upaya serta kanak-kanak.

Calon PRM, Hafizah Zainuddin ketika dihubungi Bernama berkata, manifesto itu dilancarkan pada Kongres Nasional ke-53 parti itu yang berlangsung di Dewan Perhimpunan China Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) di Kuala Lumpur.

Proses PRK KKB, yang memasuki hari kedua, menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan bekas Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Hafizah dan Nyau Ke Xin (Bebas).

Ia diadakan susulan kematian penyandangnya, Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei manakala pengundian awal pada 7 Mei. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: