PRK KKB: Pengundi jangan mudah percaya taktik fitnah

Ramanan. Foto Bernama
Ramanan. Foto Bernama
A
A
A

SUNGAI BULOH - Pengundi Kuala Kubu Baharu diharap tidak terpengaruh dengan taktik pihak lawan yang menyebarkan fitnah, demi meraih sokongan dan undian pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) kawasan itu.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan yang juga Timbalan Ketua Penerangan 1 PKR berkata, pengundi perlu lebih berhati-hati, dan sentiasa menyemak fakta apabila mendengar kempen politik yang dilakukan pihak lawan.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sungai Buloh berkata, semasa tempoh berkempen, akan wujud pihak yang tidak bertanggungjawab melakukan kaedah kempen yang tidak sihat, termasuk menggunakan platform media sosial untuk menyebarkan fitnah.

"Ini penting untuk semua pengundi Kuala Kubu Baharu, untuk berhati-hati dan dengar kepada maklumat yang betul, ada pelbagai maklumat (ketika kempen) dan kebanyakannya berunsurkan fitnah.

"Akan ada video-video lama yang sengaja disiar semula sebagai kempen yang kotor. Kita mahukan suasana kempen yang bersih dan rakyat perlu dapatkan maklumat daripada laporan media yang sahih,” katanya kepada pemberita pada Majlis Rumah Terbuka kerjasama Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) yang berlangsung di Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh di sini pada Ahad.

Ramanan (tengah) beramah mesra bersama pengunjung yang hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Amanah Ikhtiar Malaysia dan KOOP Sahabat di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh pada Ahad. Foto Bernama
Ramanan (tengah) beramah mesra bersama pengunjung yang hadir pada Rumah Terbuka Aidilfitri bersama Amanah Ikhtiar Malaysia dan KOOP Sahabat di pekarangan Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Sungai Buloh pada Ahad. Foto Bernama

PRK DUN Kuala Kubu Baharu yang menyaksikan pertandingan empat penjuru membabitkan calon Pakatan Harapan, Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan Bebas, diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lepas akibat kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK berkenaan pada 11 Mei ini, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Artikel Berkaitan:

Mengenai majlis rumah terbuka itu, Ramanan berkata, ia sebagai usahanya untuk menyantuni rakyat di Parlimen itu, selain menjadi platform mengerat keharmonian masyarakat berbilang kaum sempena Aidilfitri.

Majlis yang berlangsung bermula 12 tengah hari sehingga petang itu dimeriahkan dengan kehadiran lebih 4,000 pengunjung dan diserikan dengan persembahan artis tempatan.

Pada majlis sama, Ramanan turut menyampaikan sumbangan kepada 200 ahli pengurusan jenazah sekitar Parlimen Sungai Buloh termasuk penggali kubur, pemandu van jenazah dan siak (masjid dan surau). - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!