[VIDEO] PRK KKB: PN mahu hantar isyarat besar kepada Putrajaya

A
A
A

MUAR - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu cukup penting kepada Perikatan Nasional (PN) untuk memastikan isyarat besar dapat dihantar kepada Putrajaya.

Pengerusinya, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, meskipun keputusan PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei nanti tidak akan mengubah kedudukan kerajaan negeri dan Persekutuan ketika ini, sebaliknya akan menunjukkan hala tuju sokongan rakyat.

"PRK kali ini merupakan kayu ukur, bukan setakat di Selangor tetapi juga di peringkat nasional. Ini bermakna jika pengundi menunjukkan sikap marah dan benci, kalahkan calon DAP, ia bermakna isyarat besar sudah sampai ke Putrajaya.

"Walaupun kemenangan itu tidak ubah keadaan di Selangor dan Putrajaya, tetapi isyarat itu cukup penting," katanya pada sidang akhbar pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh di sini pada Ahad.

Muhyiddin (dua dari kanan) bergambar dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, pada Ahad.
Muhyiddin (dua dari kanan) bergambar dengan tetamu yang hadir pada Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Parlimen Pagoh di Kompleks Sukan Pagoh, pada Ahad.

Dalam pada itu, Muhyiddin berkata, PN boleh memenangi PRK Kuala Kubu Baharu sekiranya 80 hingga 90 peratus pengundi Melayu melaksanakan tanggungjawab mereka pada hari pengundian nanti.

"Berdasarkan data pengundi, 47 peratus pengundi Melayu, 30 peratus pengundi Cina, 18 peratus pengundi India dan lima peratus lain-lain termasuk Orang Asli.

"Jika ikut Pilihan Raya Negeri (PRN) Kuala Kubu Baharu sebelum ini, Pakatan Harapan (PH) menang dengan majoriti 4,119 undi. Ia dilihat agak tepu, hampir stabil untuk tiga kali pilihan raya tetapi tiada pertambahan.

Artikel Berkaitan:

"Dalam PRN lalu, pengundi Melayu keluar mengundi hanya 67 peratus, kalau ramai yang keluar 80 atau 90 peratus lebih baik kerana majoriti Melayu itu besar," katanya.

Menurutnya, PN tidak pernah bersikap terlalu yakin pada PRK Kuala Kubu Baharu kali ini sebaliknya terus belajar daripada sejarah PRK sebelum ini yang mana PN juga pernah tewas.

Muhyiddin
Muhyiddin

"Berdasarkan senario terkini, jika kita kerja keras, pengundi akan sedar tanggungjawab untuk keluar undi. Saya kira ini akan bantu PN untuk menang PRK kali ini.

"Saya harap pengundi akan keluar beramai-ramai terutama pengundi Melayu yang dahulu tidak keluar ramai, harap mereka sedar ini bukan soal perkauman tetapi kecenderungan pengundi di situ," katanya.


Cari modal lain, calon PN terbukti ada kelayakan akademik - Muhyiddin

Dalam pada itu, Muhyiddin juga menggesa isu latar belakang pendidikan calon, Khairul Azhari Saut tidak dijadikan modal pada PRK Kuala Kubu Baharu.

Beliau yang juga Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menegaskan penjelasan sudah diberikan berhubung isu tersebut dan terbukti calon PN yang juga pemangku Ketua Bahagian Bersatu Hulu Selangor mempunyai kelulusan.

"Tidak perlu serang, kelulusan dia (Khairul Azhari) betul, tidak tipu dia memperoleh Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan daripada Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA).

"Ini adalah satu bukti, tiada modal, padahal tidak betul. Malah diperjelaskan banyak pihak memang ada kelayakan Sarjana Eksekutif dibuat oleh universiti," katanya.

Sebelum ini, isu berkaitan kelulusan akademik Khairul Azhari mendapat perhatian apabila ramai mempersoalkan kelayakan ijazah sarjananya tanpa memiliki ijazah sarjana muda.

Bagaimanapun, perkara itu disahkan oleh Dr Ahmad Johari Mohamad yang menjalankan fungsi Ketua Pegawai Eksekutif UMPSA Advanced bahawa Khairul Azhari melanjutkan pengajian melalui program profesional di bawah UMPSA Advanced dan menerima sarjananya pada konvokesyen tahun 2021.

Menerusi poster pilihan raya, calon berusia 54 tahun itu diuar-uarkan memiliki Diploma Eksekutif Pengurusan dari Universiti Malaya pada 2019 dan Sarjana Eksekutif Pengurusan Perniagaan dari Universiti Malaysia Pahang Al-Sultan Abdullah (UMPSA) pada 2021.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu menyaksikan pertembungan empat penjuru antara calon PH, PN, Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan calon Bebas.

PH mempertaruhkan Setiausaha Akhbar kepada Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Pang Sock Tao mewakili PH dicabar, Khairul Azhari Saut mewakili PN.

Sementara PRM diwakili Hafizah Zainuddin dan Nyau Ke Xin pula bertanding atas tiket Bebas.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya yang mewakili PH daripada DAP, Lee Kee Hiong pada 21 Mac lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!