X

Kindly register in order to view this article
!

A
A

SHAH ALAM – PR dianggap sebagai gabungan yang masih mentah dalam berpolitik apabila wujudnya pelbagai ketidaksefahaman antara rakan pakatan terutama Pas dan DAP.

Penganalisis politik, Prof Madya Ahmad Nizamuddin Sulaiman berkata, penubuhan PR yang baru berusia tujuh tahun itu (bermula 2008) dilihat salah satu sebab terjadinya konflik dalaman. Menurutnya, perkara itu biasa berlaku apabila sesuatu parti masih belum matang di mana masing-masing inginkan perhatian dan sokongan. “Justeru jika alasan krisis tersebut menjadi penyebab Pas angkat kaki, bermaksud, itu bukan satu keputusan bijak. “Jika Pas mengambil keputusan keluar parti gabungan ini, ia hanya melemahkan mereka dan parti itu pastinya akan banyak kerugian daripada untung," katanya, semalam. Beliau berkata demikian ketika mengulas situasi yang berlaku antara pemimpin DAP dan Pas yang kelihatan semakin meruncing apabila berlaku ketidaksefahaman walaupun sudah mengaku sebagai adik-beradik dalam PR. Nizamuddin berkata, isu berbangkit antara pemimpin parti tidak seharusnya digembar-gemburkan. “Sepatutnya, kedua-dua parti ini duduk semeja membincangkan masalah dan dapatkan kesepakatan agar segala keputusan dibuat bersama dan tidak bercanggah. “Bincangkan semula tahaluf siyasi (persefahaman politik), agar matlamat dipegang tidak tergugat,” katanya. Beliau berkata, antara PKR, DAP dan Pas, masing-masing memerlukan satu sama lain demi kepentingan politik. “DAP dengan Pas misalnya, masing-masing bantu-membantu dalam pilihan raya untuk memastikan kemenangan menyebelahi mereka. “Itulah yang berlaku apabila bermulanya 2008, beberapa negeri mereka tawan daripada BN iaitu Selangor, Kelantan dan Pulau Pinang,” katanya. Tambahnya, kesetiaan Pas dalam PR juga adalah kerana kepentingan politik sahaja. Sementara itu, Geostrategis Universiti Teknologi Malaysia, Prof Dr Azmi Hassan turut sependapat bahawa Pas diyakini tidak akan berganjak dari PR kerana kepentingan politik. "Mereka (Pas) akan lemah apabila berdiri sendiri, begitu juga dengan PR. Justeru Pas dilihat menerima apa sahaja sindiran terhadap mereka. Azmi berkata, kesilapan terletak pada Pas kerana tidak sepakat dalam parti sendiri. "Mereka perlu bersama walau dalam apa keadaan. Jangan keluarkan kenyataan bertentangan. Yang penting matlamat perjuangan parti," katanya.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus