X

Kindly register in order to view this article
!

Abdul Aziz (kiri) meninjau keadaan Pusat Media PRU13 yang baru dibuka, semalam, di bangunan SPR, Putrajaya. - FOTO : ZULFADHLI ZAKI
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menegaskan individu yang terpilih sebagai sukarelawan Pemantau Pilihan Raya Rakyat (Pemantau) bagi Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) hanya dibenarkan memantau proses membuang undi tetapi tidak mempunyai kuasa untuk mengganggu pengundi. Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata, ini kerana pihaknya tidak lagi mahu pengundi diganggu dengan sebarang aktiviti berkempen memandangkan tempoh berkenaan telah berakhir pada malam sebelum proses membuang undi pada pilihan raya tersebut. Katanya, biarlah pengundi keluar mengundi dengan fikiran tenang dan boleh berfikir dengan baik bagi memilih calon yang mereka kehendaki.   “Jangan jadi pengacau. Tetapi bantu kita untuk perbaiki apa yang dirasakan ada kekurangan. Paling penting, saya berharap pihak berkenaan tidak mengganggu pengundi pada hari mengundi,” katanya dalam pertemuan khas dengan Sinar Harian di pejabatnya, di sini, semalam.

Beliau mengulas mengenai cadangan Pemantau terdiri daripada Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih), Malaysians for Free and Fair Elections (Mafrel) dan Pusat Komunikasi Masyarakat (Pusat Komas) yang berhasrat merekrut sekurang-kurangnya 10,000 sukarelawan untuk melaksanakan tugas berkenaan. Katanya, gangguan itu tidak kira sama ada menunjukkan gambar calon kepada pengundi, mengeluarkan perkataan kesat atau lebih buruk mencarut serta memperkecil-kecilkan calon lain. “Kita saran kepada mana-mana pemimpin beri nasihat kepada penyokong masing-masing  agar jangan emosional seolah-olah PRU hanya berlaku sekali seumur hidup. “Peluang (mengundi) ini, kita beri lima tahun sekali. Jadi biarlah pengundi buat pilihan ke atas calon dengan tenang,” katanya. Abdul Aziz berkata, pihaknya menyambut baik cadangan Pemantau sekaligus membuktikan SPR sentiasa  berlapang dada terhadap mana-mana badan yang ingin membantu pihaknya membuat penambahbaikan ke atas segala kelemahan sepanjang proses PRU, berlandaskan prinsip demokrasi di negara ini. Dalam pada itu, katanya, terdapat kira-kira 17 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) melibatkan lebih 2,500 individu akan bertindak sebagai pemerhati tempatan pada pilihan raya kali ini. Manakala bagi peringkat antarabangsa, lima negara ASEAN iaitu Cambodia, Myanmar, Thailand, Indonesia dan Filipina di mana setiap dari negara tersebut akan menghantar seramai tujuh orang pemerhati.


×