Punca DAP pertaruh calon Cina

Hisommudin. Laporan Sinar Harian
Hisommudin. Laporan Sinar Harian
A
A
A

HULU SELANGOR - Sukar untuk meraih undi Melayu didakwa menjadi punca DAP mengekalkan strategi dengan mempertandingkan calon berbangsa Cina pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Menurut Pengarah Eksekutif Ilham Centre, Hisommudin Bakar, langkah berkenaan dilakukan susulan DAP mahu fokus untuk meraih undi maksimum daripada kaum Cina.

Beliau berkata, perubahan peratusan mengikut etnik telah berubah secara drastik sejak tiga Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14, PRU15 dan Pilihan Raya Negeri Selangor 2023.

“Perubahan demografi pengundi Cina yang dicatatkan ketika kemenangan mendiang Lee Kee Hiong pada PRU14 ialah sebanyak 42.7 peratus dan telah menurun kepada 30 peratus pada PRU15.

“Pengurangan undi daripada etnik itu secara tidak langsung memberi kesan kepada undian DAP.

“Selain itu, berlaku pertambahan dalam undi Melayu daripada 32.7 (PRU14) kepada 49 peratus (PRU15) kerana disumbangkan oleh pengundi muda,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Interviu yang disiarkan secara langsung di semua platform digital Sinar Harian, pada Sabtu.

Program dihoskan Haizir Othman itu membincangkan tajuk 'Kuala Kubu Baharu milik siapa?’.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut, Hisommudin berkata, kerajaan pentadbiran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim bersifat defensif dan terpaksa menjawab ‘serangan’ yang dilemparkan oleh pihak pembangkang.

“Sepatutnya, dalam tempoh musim perayaan baru-baru ini, yang mana harga stabil, barang mencukupi tidak diraikan oleh aktivis atau media parti Pakatan Harapan (PH).

“Musim perayaan tidak timbul isu harga ayam, daging, telur dan sebagainya. Ini sepatutnya menjadi mata bonus kepada komponen dalam Kerajaan Perpaduan untuk tunjuk kepada rakyat,” ujarnya.

Tambahnya, negara turut mencatatkan penurunan inflasi daripada 3.3 peratus kepada 1.8 peratus.

Jelas beliau, Kerajaan Perpaduan sepatutnya membangkitkan perkara itu kepada umum daripada bercakaran dengan parti lawan mengenai isu yang tidak penting.

PRK Kuala Kubu Baharu diadakan berikutan kematian Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu selepas beberapa tahun bertarung melawan kanser.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK Kuala Kubu Baharu pada 11 Mei ini manakala penamaan calon ditetapkan pada 27 April serta pengundian awal, 7 Mei.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!