PRK: Dua pasukan penguat kuasa kempen pilihan raya ditubuh

SPR menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon yang bertanding ketika berkempen sepanjang PRK DUN Kuala Kubu Baharu (KKB).Gambar hiasan
SPR menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon yang bertanding ketika berkempen sepanjang PRK DUN Kuala Kubu Baharu (KKB).Gambar hiasan
A
A
A

SHAH ALAM - Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menubuhkan dua Pasukan Penguat Kuasa Kempen Pilihan Raya (PP-KPR) untuk memantau semua aktiviti calon bertanding ketika berkempen sepanjang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB).

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Ghani Salleh berkata, semua calon bertanding diberikan tempoh berkempen bermula selepas pengisytiharan pilihan raya dipertandingkan oleh Pegawai Pengurus sehingga jam 11.59 malam pada 10 Mei.

Menurutnya, calon yang telah membayar deposit bahan kempen pilihan raya tertakluk kepada undang-undang kecil mana-mana pihak berkuasa tempatan (PBT) seperti diperuntukkan di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

“Ia bagi tujuan mempamer dan mengedarkan bahan kempen pilihan raya yang mengandungi gambar calon, lambang atau simbol parti dan gambar pemimpin parti gabungan atau komponen secara bersama atau berasingan yang diwakilinya.

“Semua kaedah dan bahan kempen dibenarkan selagi mana ia tidak mengembangkan perasaan jahat, tidak puas hati, permusuhan atau perkauman dan menyentuh sensitiviti keagamaan termasuk isu 3R (agama, raja dan bangsa).

“Selain itu, bahan kempen juga tidak melanggar peruntukan Akta 5 dan undang-undang lain yang berkaitan,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

Sebelum ini, pusat penamaan calon bagi PRK DUN KKB ditutup tepat pada pukul 10 pagi selepas dibuka 9 pagi ini.

Sejurus tamatnya tempoh itu, sebanyak empat kertas penamaan telah dikemukakan oleh calon-calon yang bertanding iaitu Khairul Azhari Saut (Perikatan Nasional), Pang Sock Tao (Pakatan Harapan), Eris Nyau Ke Xin (Bebas) dan Hafizah Zainudin (Parti Rakyat Malaysia).

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Abdul Ghani turut berharap agar aktiviti berkempen berjalan dalam suasana yang penuh harmoni serta mengikut undang-undang dan peraturan ditetapkan.

“SPR merakamkan ucapan tahniah dan syabas kepada Pegawai Pengurus Pilihan Raya dan pasukan kerana telah menjalankan tanggungjawab dengan lancar pada hari ini (Sabtu).

“Penghargaan dan terima kasih juga diucapkan kepada pihak Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Peguam Negara, Jabatan Insolvensi Malaysia, PBT, Jabatan Penerangan Malaysia, media dan semua pihak yang terlibat secara langsung atau tidak,” ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!