PRK Kuala Kubu Baharu: Penanda aras pencapaian Kerajaan Selangor

PRK DUN KKB menyaksikan persaingan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.
PRK DUN KKB menyaksikan persaingan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.
A
A
A

SHAH ALAM - Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu (KKB) merupakan penanda aras terhadap pencapaian kerajaan negeri Selangor sekali gus menggambarkan sokongan rakyat terhadap usaha dan dasar yang diinginkan oleh penduduk setempat.

Pensyarah Kanan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Universiti Teknologi Mara (UiTM) cawangan Perlis, Dr Zuraimy Ali berkata, kedudukan KKB di bawah Parlimen Hulu Selangor menjadi medan bagi mengukur sejauh mana keberkesanan dasar dan program kerajaan negeri yang telah dilaksanakan mampu memberikan kesan positif terhadap sokongan pengundi di kawasan tersebut.

Justeru menurutnya, pihak bertanding tidak boleh memandang mudah PRK DUN KKB memandangkan masing-masing mempunyai kekuatan dan jentera yang pasti mendatangkan cabaran sengit.

"Selain daripada calon yang bertanding dan dasar kerajaan negeri, elemen pemerkasaan hubungan kaum yang kukuh perlu dilihat sebagai faktor penting bagi memastikan sokongan rakyat dalam PRK DUN Kuala Kubu Bharu dapat dicapai.

"Beberapa insiden yang terkait dengan ketidakpuasan segelintir rakyat perlu diselesaikan segera dengan pelbagai jalan rundingan agar isu tersebut tidak mempengaruhi pengundi lain.

"Pendekatan mesra penduduk merupakan resipi kejayaan calon dan hal ini perlu dibuktikan dengan komitmen yang tuntas dengan kaedah dan penyelesaian yang pantas. Ini selaras kerajaan Malaysia Madani yang inginkan setiap pimpinan sentiasa pantas menyelesaikan isu rakyat tanpa birokrasi yang panjang," katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.

PRK DUN KKB menyaksikan persaingan empat penjuru antara Perikatan Nasional (PN), Pakatan Harapan (PH), Parti Rakyat Malaysia (PRM) dan Bebas.

PH diwakili Pang Sock Tao, PN pula Khairul Azhari Saut, Hafizah Zainuddin (PRM) manakala Bebas diwakili oleh Nyau Ke Xin.

Artikel Berkaitan:

PRK KKB diadakan susulan kematian penyandangnya Lee Kee Hiong, 58, pada 21 Mac lalu akibat kanser dan SPR menetapkan hari pengundian bagi PRK itu pada 11 Mei, manakala pengundian awal pada 7 Mei.

Ujar Zuraimy, calon yang bertanding perlu mempunyai idea bagi memastikan kesejahteraan dapat dicapai dan mempunyai hubungan mesra dengan pelbagai masyarakat.

"Kegagalan berkomunikasi dengan pelbagai kaum akan memberikan keuntungan kepada pihak lawan manakala kelemahan menjawab pelbagai isu setempat memberikan ruang untuk pihak mengambil kesempatan untuk meraih undi.

"Justeru, keutamaan dalam PRK KKB perlu memastikan calon yang bertanding sentiasa meletakkan keutamaan terhadap permasalahan penduduk setempat," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!