X

Kindly register in order to view this article
!

Pakar: "Dalam konteks politik, debat penting'

Ramlah Adam
A
A

KUALA LUMPUR - Pakar sejarah Datuk Prof Dr. Ramlah Adam menganggap debat antara pemimpin politik, yang turut dicadangkan perlu membabitkan Datuk Seri Najib Razak dan Datuk Seri Anwar Ibrahim, adalah baik dan merupakan alternatif dalam konteks menyampaikan maklumat kepada rakyat. Beliau berkata, berdebat tidak salah malah ia amat digalakkan seperti yang dilakukan di universiti, debat dijadikan satu budaya positif dalam menyebarkan sesuatu pendapat. Jelasnya, melalui debat rakyat dapat membuat penilaian terhadap kredibiliti seorang pemimpin politik dengan hujah dan bukti kukuh menunjukkan mereka layak untuk mewakili parti masing-masing, sekali gus mempunyai potensi  mentadbir kerajaan negara. "Dalam debat, Datuk Seri Najib Razak berhak memberitahu rakyat apa yang sudah beliau lakukan dan usahakan selama mentadbir negara, begitu juga Datuk Seri Anwar Ibrahim juga berhak membantah jika mempunayi bukti yang kukuh. "Akhirnya keputusan debat itu mungkin akan terjawab selepas keputusan pilihan raya dibuat, jika Barisan Nasiona (BN) menang, jangan parti pembangkang salahkan BN, begitu juga sebaliknya sebab ini adalah keputusan rakyat yang menilai," katanya kepada pemberita pada sidang media Kolokium Sejarah Malaysia, di sini. Ramlah berkata, tidak semua rakyat tahu apa yang sudah dilakukan oleh kerajaan, justeru melalui debat itu sendiri, segala maklumat dan perkembangan dapat disampaikan dengan jelas. "Kita kena anggap debat itu adalah bertujuan menyebarkan maklumat dan ilmu, biarpun dalam konteks politik, debat itu juga dianggap penting. "Politik negara kita mempunyai banyak cabang, kalau tidak debat macamana nak dapatkan yang terbaik, namun rakyat dinasihatkan perlu menilai dengan ilmu bukan dengan emosi.," katanya. Beliau mengulas pendirian Anwar dan beberapa pemimpin PR yang mahu Najib berdebat dengannya, dianggap perlu jika ia membabitkan isu yang sesuai untuk masa depan negara. Idea itu diketengahkan susulan debat antara Presiden MCA, Datuk Seri Dr Chua Soi Lek dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng. Sebelum itu, Ramlah bersama tokoh sejarah lain mengadakan sidang media mengenai Kolokium Sejarah Malaysia yang bertujuan mendedahkan fakta sebenar sejarah perjuangan kemerdekaan Malaysia dan memperbetulkan persepsi mengenai Parti Komunis Malaya (PKM) dan pejuang kemerdekaan. Program itu akan berlangsung di Panggung Eksperimen, Universiti Malaya pada Sabtu ini. Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, dijangka akan merasmikan program itu.


×

Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!