Najib: 'Tiada apa-apa sekat kerajaan adakan PRU lebih awal'

Datuk Seri Najib Tun Razak
A
A

KUALA LUMPUR - Perlembagaan Persekutuan perlu dipinda jika pilihan raya umum hendak diadakan selepas tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun dan bukannya lebih awal, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.  Beliau yang juga Presiden Umno berkata, pada masa ini, tiada apa-apa yang menyekat kerajaan untuk mengadakan pilihan raya umum lebih awal atau menunggu sehingga cukup tempoh lima tahun mentadbir negara. "Perlembagaan negara membenarkan Perdana Menteri pada masa berkenaan untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong membubarkan Parlimen, tapi tidak lewat dari tempoh lima tahun. Itu peruntukan Perlembagaan. "Selagi tak ubah peruntukan Perlembagaan, kita tak boleh kata kita perlu buat lebih awal sebagai satu ketetapan atau sampai penghujung lima tahun sebagai satu ketetapan. Maknanya kuasa budi bicara itu dibenarkan oleh Perlembagaan," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat Majlis Tertinggi Umno di Menara Dato Onn di sini, hari ini.  Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz di Parlimen semalam bahawa kerajaan sedang melakukan gerakan kecil-kecilan untuk mempertimbang bahawa pilihan raya umum diadakan apabila tempoh mandat pentadbiran kerajaan sedia ada mencukupi lima tahun dan bukannya lebih awal. - Bernama


×