RM3 juta baik pulih 200 rumah nelayan di Beluran

Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) singgah di gerai usahawan Sumarni Ghani (kiri) selepas menteri itu merasmikan Mini Karnival Industri Makanan Beluran 2020 di Dataran Beluran hari ini.
Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kanan).
--fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
Menteri Pertanian dan Industri Makanan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (tengah) singgah di gerai usahawan Sumarni Ghani (kiri) selepas menteri itu merasmikan Mini Karnival Industri Makanan Beluran 2020 di Dataran Beluran hari ini. Turut hadir, Pengerusi Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (kanan). --fotoBERNAMA (2020) HAK CIPTA TERPELIHARA
A
A
A

BELURAN - Sebanyak RM3 juta akan disalurkan bagi Projek Khas Perumahan Nelayan di Beluran, kata Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee hari ini.

Katanya, projek itu akan dikendalikan oleh Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) bagi membaik pulih 200 rumah nelayan di daerah itu, pada tahun ini dan tahun depan.

“Projek ini akan dilaksanakan dalam masa terdekat. LKIM telah pun membaik pulih 152 rumah nelayan di Beluran sebelum ini dan akan membaik pulih 200 lagi,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Mini Karnival Industri Makanan Beluran 2020, di sini hari ini.

Kiandee turut memaklumkan sebuah bank dijangka akan diwujudkan di pekan Beluran tahun ini.

Menurutnya, bank berkenaan iaitu Agrobank kini sedang dalam proses untuk mendapatkan lot kedai di daerah itu.

“Ketika ini, Beluran cuma ada sebuah mesin juruwang automatik (ATM) dan dengan sebuah bank di Beluran ini akan memberi kemudahan perbankan kepada penduduk di daerah ini,” katanya.

Mengenai karnival itu Kiandee berkata, program itu merupakan inisiatif kementeriannya untuk mendekati rakyat dan memperkenalkan program pertanian, dalam usaha membangunkan rakyat khususnya di luar bandar.

“Kementerian memperuntukkan dana yang banyak melalui jabatan dan agensi di bawahnya untuk membantu masyarakat petani, nelayan dan penternak, perbaiki kehidupan,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Menurut Kiandee, antara program yang membawa manfaat positif kepada rakyat ialah Program Agropreneur Muda yang memperuntukkan RM20 juta untuk membangunkan seramai 1,200 orang agropreneur muda di seluruh negara, tahun ini.

"Sehingga bulan lepas, seramai 582 orang pemohon telah diluluskan di bawah Geran Agropreneur Muda, dengan nilai geran sebanyak RM10.68 juta dan seramai 344 orang lagi akan menerima Geran Agropreneur Muda daripada kementerian sebanyak RM6.67 juta,” katanya. - Bernama