Mejar antara enam didakwa bantu jenayah terancang

Anggota penguat kuasa yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas tuduhan membantu ahli jenayah terancang Geng Otong hari ini.
Anggota penguat kuasa yang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kota Tinggi atas tuduhan membantu ahli jenayah terancang Geng Otong hari ini.
A
A
A

KOTA TINGGI - Seorang pegawai tentera berpangkat Mejar antara enam anggota penguat kuasa yang didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini kerana membantu ahli kumpulan jenayah terancang di daerah ini antara September 2017 hingga April 2020.

Turut didakwa seorang anggota tentera berpangkat Sarjan dan empat anggota polis berpangkat Koperal dan Lans Koperal.

Kesemua tertuduh iaitu Zaifol Abdul Hamid, 43; Mohammad Riduan Razali, 35; Hong Tiong Khim, 24; Mohd Ariff Mustapa, 54; Muhammad Safuan Taharin, 29; dan Saddam Hussen Ismail, 29; sekadar mengangguk faham ketika pertuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Hakim Zahilah Mohammad Yusoff.

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh.

Mengikut kertas pertuduhan, kesemua mereka didakwa melakukan kesalahan membantu ahli kumpulan jenayah terancang 'Geng Otong' di daerah Kota Tinggi dari 28 September 2017 hingga April 2020.

Atas kesalahan itu, kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 130W Kanun Keseksaan (Akta 574) dan boleh dihukum di bawah seksyen yang sama.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Putrajaya, Idham Abd Ghani dan Rohaiza Abd Rahman.

Peguam Lydiana Mansor mewakili Saddam Hussen dan Tiong Khim; Ahmad Yusri Ahmad Fuad mewakili Muhamad Safuan dan Zaifol; Farid Aziz mewakili Mohammad Riduan dan Jefri Jaafar mewakili Mohd Ariff.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah tidak membenarkan kesemua tertuduh diikat jamin dan menetapkan 15 Oktober ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Pada 2 Julai lepas, 51 anggota Geng Otong termasuk warga Indonesia dan Myanmar didakwa di mahkamah sama atas pertuduhan menganggotai kumpulan jenayah terancang sekali gus mendalangi sindiket penyeludupan migran, antara 2015 hingga tahun ini. - Bernama