Perairan Tanjung Tuan disyaki diceroboh

Jabatan Perikanan mengesyaki berlaku aktiviti memukat ikan secara haram di perairan Tanjung Tuan. - Foto Facebook Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
Jabatan Perikanan mengesyaki berlaku aktiviti memukat ikan secara haram di perairan Tanjung Tuan. - Foto Facebook Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
A
A
A

PORT DICKSON - Jabatan Perikanan Negeri Sembilan mengesyaki berlaku aktiviti memukat ikan secara haram di kawasan larangan perikanan di perairan Tanjung Tuan di sini.

Pengarahnya, Halimi Abu Hanip berkata, kegiatan itu dikesan selepas mendapat aduan orang awam menemui pukat yang dipasang di situ.

"Mungkin juga itu pukat orang tertentu yang hanyut dan tersangkut di situ. Kita pun tak pasti.

"Tapi berdasarkan pemeriksaan dilakukan di lokasi kami syak ia perbuatan individu tidak bertanggungjawab yang sengaja memukat di situ," katanya kepada Sinar Harian.

Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menemui pukat di perairan Tanjung Tuan. - Foto Facebook Jabatan Perikanan Negeri Sembilan
Jabatan Perikanan Negeri Sembilan menemui pukat di perairan Tanjung Tuan. - Foto Facebook Jabatan Perikanan Negeri Sembilan

Menurutnya, kes penemuan pukat di kawasan itu jarang berlaku, namun kali ini lebih jelas kelihatan apabila pukat yang dijumpai membalut sepanjang kawasan tebing batu.

Katanya, perairan Tanjung Tuan merupakan kawasan larangan perikanan yang diwartakan di bawah Peraturan-Peraturan Perikanan(Kawasan Larangan) 1994, Akta Perikanan 1985.

"Mereka yang didapati menceroboh dengan aktiviti memukat, memancing dan menangkap hidupan marin di situ boleh didenda maksimum RM20,000 atau penjara maksimum dua tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 25 Akta Perikanan 1985," katanya.

Artikel Berkaitan: