Bekas Pengurus Kanan Kewangan Nafas didakwa terima rasuah

Muhammad Saiful (depan, kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
Muhammad Saiful (depan, kiri) ketika hadir di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas Pengurus Kanan Kewangan Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) didakwa di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas tiga pertuduhan rasuah bagi mempercepatkan pembayaran projek baja lima tahun lalu.

Bagaimanapun tertuduh, Muhammad Saiful Iskandar Kassim, 43, tidak mengaku bersalah atas kesemua pertuduhan terhadapnya yang dibacakan di hadapan Hakim Azura Alwi.

Mengikut pertuduhan pertama hingga ketiga, Muhammad Saiful secara rasuah memperoleh suapan, iaitu wang tunai sebanyak RM6,000 daripada Mohd Nazim Ariff Nazir Ariff melalui pemindahan wang secara elektronik melalui akaun Maybank milik tertuduh.

Wang berkenaan sebagai dorongan untuk mempercepatkan proses bayaran bagi kontrak menyediakan tenaga kerja, peralatan serta bahan bagi menjalankan kerja-kerja menghantar baja dari gudang Nafas di NPK Fertelizer Sdn Bhd Kedah dan Agro-Tech NPK (M) Sdn Bhd Sabah ke gudang Nafas di Sabah dan Sarawak (Door to Door) tahun 2015.

Kesemua kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Dataran Maybank Jalan Maarof di sini antara 10 Disember 2015 hingga 26 Februari 2016.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda daripada nilai suapan atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Terdahulu Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Selangor, Fadhli Abd Wahab mencadangkan jaminan RM30,000 bagi kesemua pertuduhan.

Fadhli berkata, tertuduh melakukan kesalahan serius dan turut mencadangkan pasport antarabangsa milik tertuduh diserahkan kepada mahkamah serta syarat tambahan tertuduh perlu hadir di pejabat SPRM setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tertuduh yang kini pengurus operasi pertubuhan itu tidak diwakili peguam memohon jaminan rendah memandangkan dia menjaga sembilan anak yang masih kecil dan bersekolah di samping turut menjaga ibunya selepas bapanya meninggal.

Tertuduh juga memberitahu mahkamah, dia telah diturunkan jawatan dan gaji hanya RM5,000 sebulan setelah dilibatkan dalam kes tersebut.

Hakim Azura kemudian membenarkan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan tertuduh perlu hadir di pejabat SPRM sekali sebulan sehingga kes selesai.

Tarikh 25 September depan ditetapkan sebagai sebutan semula kes.