Elak kerajaan tanggung kerugian besar

Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan hutan simpan di Raub. Gambar kecil: Sallehuddin
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan hutan simpan di Raub. Gambar kecil: Sallehuddin
A
A
A

KUANTAN - Pekebun tanah haram perlu mematuhi skim pengesahan pendudukan tanah di sisi undang-undang (legalisation scheme) bagi memastikan kerajaan negeri mahu pun pengusaha tanaman tidak menanggung kerugian lebih besar.

Setiausaha Kerajaan Pahang, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak berkata, buat masa ini, kerajaan masih mempertimbangkan untuk membenarkan pengusaha tanaman durian meneruskan penanaman di kebun mereka tetapi perlu membuat permohonan di bawah legalisation scheme.

“Contohnya Cameron Highlands. Kerajaan melantik rakan strategik Perbadanan Cameron Kemajuan Highlands untuk melaksanakan pembersihan dan kita sudah hampir selesai. Sekarang sedang melakukannya di Raub menerusi syarikat tujuan khas (SPV) bagi menyelesaikan isu ladang durian haram di daerah tersebut.

“Syarikat itu akan menguruskan tanaman durian secara komersial di mana peladang-peladang juga akan mendapat manfaat daripadanya. Kita sudah buat legalisation scheme dan mereka perlu patuhinya. Kalau tidak kerajaan rugi. Pekebun-pekebun haram ni mereka dah lama teroka tanah, kalau kerajaan tidak tegas maka sampai bila pun isu ini tak akan selesai," katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini semalam.

Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Pahang menyerahkan tindakan kepada pihak polis bagi mengambil tindakan terhadap penerokaan tanah haram termasuk penanaman di atas tanah kerajaan dan hutan simpan yang masih berleluasa hingga kini.

Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan hutan simpan di Raub. - Foto JPNP
Kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) memusnahkan pokok durian yang ditanam secara haram dalam kawasan hutan simpan di Raub. - Foto JPNP

Selain pihak polis katanya, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian Pahang juga diberikan mandat untuk menguruskan perkara ini termasuk membuat pembersihan di mana-mana lokasi penerokaan jika dirasakan perlu.

“Keputusan kerajaan negeri hanya memberi kebenaran memasuki dan menduduki tanah kerajaan kepada syarikat usaha sama kerajaan negeri sahaja. Pihak yang didapati menceroboh akan diambil tindakan dan itu kita sudah serahkan kepada pihak polis serta pejabat tanah,” katanya.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu dalam satu kenyataan akhbar, Sallehuddin berkata, kerajaan negeri tidak akan bertolak ansur dengan perkara itu dan akan mengambil tindakan terhadap pencerobohan mengikut undang-undang berdasarkan peruntukan Seksyen 425, Kanun Tanah Negara 1965.

Pihak berkenaan boleh dikenakan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.

Bagi pencerobohan di hutan simpan, penceroboh boleh didakwa mengikut Seksyen 47, Akta Perhutanan Negara 1984 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara selama tempoh tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya sekali.

Menurut kenyataan itu lagi, tindakan tegas perlu segera diambil bagi menangani isu penanaman durian secara haram di Raub memandangkan terdapat bukti pembukaan tanah haram untuk tanaman raja buah itu terus bertambah di kawasan berkenaan.

Pada 1 Ogos lalu, beliau turut memaklumkan kerajaan Pahang kerugian RM30 juta hasil cukai tanah dalam isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram di Raub dan nilai kerugian itu berdasarkan kadar terendah pajakan dan cukai tanah untuk tempoh 10 tahun.

Isu pencerobohan tanah untuk penanaman durian secara haram sebelum ini dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Shah Raja Puji di Dewan Rakyat pada 23 Julai lalu.

Dianggarkan 4,400 hektar diusahakan secara haram untuk penanaman durian di beberapa kawasan di Raub.

ARTIKEL BERKAITAN: Pahang rugi hasil cukai RM30 juta akibat penanaman durian haram

Pekebun musang king perlu dibela