Jambatan Bailey Kampung Sungai Mok mula dibuka kepada pengguna

KUANTAN – Penduduk Kampung Sungai Mok, Rompin kini mampu menarik nafas lega apabila jambatan sementara (jambatan Bailey) yang dibina bagi menggantikan jambatan sedia ada yang runtuh pada 2 Januari lalu telah siap sepenuhnya dan dibuka pada Ahad.
Jambatan Bailey sepanjang 30.48 meter itu mula dipasang pada 6 Januari lalu dan berjaya disiapkan dalam tempoh lima hari sebagaimana dirancang.
Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Rompin memaklumkan bahawa dengan pembukaan semula laluan tersebut, hubungan penduduk Kampung Sungai Mok 2 dengan kawasan sekitarnya kini pulih sepenuhnya.
Menurut kenyataan itu, kejadian jambatan runtuh pada 2 Januari lalu mengakibatkan laluan utama penduduk kampung terputus sepenuhnya.
“Kejadian berpunca ekoran peningkatan kadar aliran Sungai Mok susulan beberapa siri hujan lebat berterusan yang telah mencetuskan arus deras.
“Keadaan tersebut menyebabkan hakisan pada struktur jambatan sedia ada, seterusnya berlaku kegagalan struktur dan runtuhan jambatan,” ujarnya menerusi satu kenyataan di Facebook.
Agensi itu menjelaskan bahawa bagi menangani situasi kecemasan tersebut, kerja-kerja penyambungan laluan yang terputus telah dilaksanakan dengan segera.
“Skop kerja awal melibatkan pengalihan struktur jambatan runtuh sedia ada serta kerja-kerja perlindungan tebing sungai menggunakan kaedah rock fill bagi menstabilkan tebing dan mengurangkan risiko hakisan berterusan.
“Setelah kerja persediaan tapak disempurnakan, pemasangan jambatan Bailey jenis ZB200 telah dilaksanakan,” katanya.
Jelas kenyataan itu lagi, kerja-kerja pemasangan jambatan keluli bermodular sepanjang 30.48 meter tersebut melibatkan seramai 40 kakitangan JKR Pahang.
Sementara itu, JKR Daerah Rompin menerusi satu notis memaklumkan bahawa hanya kenderaan ringan dibenarkan melalui laluan itu dengan had muatan lapan tan dan kelajuan maksimum 20 km/j.
Kenderaan berat yang melebihi had muatan adalah dilarang sama sekali melalui jambatan berkenaan.
“Sila patuhi papan tanda dan arahan yang telah disediakan. Sebarang pertanyaan boleh diajukan kepada JKR Daerah Rompin menerusi talian 09-4145040,” menurut notis tersebut.
Ringkasan AI
- Penduduk Kampung Sungai Mok, Rompin lega dengan pembukaan jambatan sementara yang siap dalam lima hari
- Jambatan tersebut dibina sebagai ganti kepada jambatan yang runtuh pada 2 Januari akibat hujan lebat
- Pembukaan jambatan pulihkan hubungan penduduk kampung dengan kawasan sekitar
- Kerja-kerja penyambungan laluan terputus dilaksanakan dengan segera selepas runtuhan
- Hanya kenderaan ringan dengan had muatan lapan tan dan kelajuan maksimum 20 km/j dibenarkan melalui jambatan tersebut
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

