KPKT tidak terlibat pemberian projek secara rundingan terus

Zuraida Kamaruddin
Zuraida Kamaruddin
A
A
A

KUALA LUMPUR - Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin menegaskan beliau tidak terlibat dalam sebarang pemberian projek secara rundingan terus sepanjang mengetuai kementerian itu semasa pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan (PH).

Justeru, Zuraida berkata, beliau tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, mahupun bekas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng ingin mendedahkan butiran tentang syarikat yang menerima projek secara rundingan terus.

“Lim Guan Eng boleh dedahkannya oleh kerana dia yang tahu. Dia (Guan Eng) mengaku tiada rundingan terus tapi kita dapati perkara itu berlaku, jadi dia yang perlu dedahkan,” katanya kepada pemberita selepas berucap pada Forum Kepimpinan Wanita bersempena Hari Wanita di sini hari ini.

Tengku Zafrul di Dewan Rakyat semalam mendedahkan pentadbiran negara ketika diterajui kerajaan PH selama 22 bulan telah meluluskan 101 projek atau perolehan kerajaan bernilai RM6.61 bilion secara rundingan terus.

Katanya, perolehan rundingan terus boleh dilaksanakan tetapi hanya dalam keadaan tertentu dan perlu menepati beberapa kriteria antaranya perolehan bekalan perkhidmatan membabitkan keperluan mendesak yang boleh memudaratkan atau menjejaskan kepentingan negara jika tidak dilaksanakan dengan segera.

Dalam pada itu, mengulas kenyataan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo yang mendakwa tiada Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Pulau Pinang dilaksanakan, Zuraida menegaskan perkara itu tidak benar.

“Ia tidak benar, saya ada laporan daripada ketua pengarah, apa yang saya tahu ada beberapa projek, kami ada senarainya, apa yang dikatakannya adalah tidak benar. Mereka patut faham kerana semasa saya menjadi menteri PH sebelum ini, saya berkhidmat untuk negeri juga... tiada diskriminasi langsung,” katanya.

Sementara itu, Zuraida mencadangkan Women Institute of Management (WIM) menganjurkan latihan kepimpinan wanita memandangkan penglibatan golongan itu penting dalam politik seterusnya menjadi antara pembuat dasar kerajaan.

Artikel Berkaitan:

Ini kerana, katanya, penglibatan golongan wanita di peringkat pembuat keputusan masih belum mencapai 30 peratus, menunjukkan wanita kurang aktif di peringkat tertinggi negara.

“Kita tidak ada lagi latihan politik untuk wanita muda, latihan kepimpinan wanita muda yang cenderung berkecimpung dalam dunia politik, jadi ia permulaan yang bagus jika WIM mewujudkan kursus berkenaan... kita perlu bentuk ketua dalam kalangan wanita muda,” katanya. - Bernama