FGV mahu kurangkan 10 peratus pekerja asing

FGV kini memiliki 32,000 pekerja asing.
FGV kini memiliki 32,000 pekerja asing.
A
A
A

KUALA LUMPUR - FGV Holdings Bhd merancang untuk mengurangkan sebanyak 10 peratus pekerja asingnya yang kini berjumlah 32,000 orang.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datuk Haris Fadzilah Hassan berkata, pada masa ini tenaga kerja asing itu adalah melebihi 90 peratus daripada jumlah yang diperlukan syarikat.

“Bagi saya, FGV terkecuali daripada isu keperluan tenaga kerja asing yang ketara dan sedang dihadapi sekarang kerana kita telah menumpukan aspek itu sejak awal tahun ini.

“Malah, sejak tahun lepas lagi, kami telah memberi penekanan kepada usaha pengambilan pekerja dan atas alasan itulah ia dapat dikekalkan pada paras 96 peratus,” katanya pada taklimat media mengenai prestasi FGV bagi suku kedua di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Haris Fadzilah berkata, FGV juga berminat untuk menarik penyertaan tenaga kerja tempatan yang kini mewakili 5.0 peratus daripada pekerjanya untuk berkhidmat dalam segmen perladangan.

Beliau juga menyifatkan perkembangan semasa hanya membuktikan keperluan FGV untuk terus meningkatkan aspek mekanisasinya.

Berikutan itu, ia telah menyediakan tanah seluas 30,000 hektar bagi tempoh tiga tahun seterusnya dalam usaha mengurangkan keperluan menggunakan tenaga kerja asing.

FGV juga akan mengeluarkan perbelanjaan modal (Capex) kira-kira RM80 juta bagi tiga tahun akan datang untuk usaha mekanisasi tanah di ladang sawit terpilih.

Artikel Berkaitan:

Daripada jumlah itu, sebanyak RM36 juta telah diperuntukkan bagi tujuan mekanisasi tahun ini.

“Kami memulakan usaha mekanisasi sejak dua tahun lepas yang merangkumi kira-kira 180,000 hektar ladang kami,” katanya.

Selain itu, FGV juga kekal komited terhadap usaha-usaha pempelbagaiannya dalam sektor barang pengguna laris (FMCG) bagi menampung impak kelemahan pergerakan harga minyak sawit mentah (MSM).

Pada 2019, harga MSM didagangkan di sekitar RM2,000 satu tan yang disifatkan bukan tahap mampan bagi operasi FGV.

“Berikutan itu, kami perlu menambah nilai produk yang berkaitan dengan minyak sawit dan mempertingkat jangka hayatnya demi menstabilkan harga MSM menerusi penawaran lebih banyak produk kepada pengguna,” katanya.

Sektor FMCG FGV terbahagi kepada dua segmen iaitu makanan dan bukan makanan.

“Kami akan membina jenama ini serta mengembangkan portfolio produk di peringkat antarabangsa dengan permulaannya di Asia Tenggara,” katanya. - Bernama